Menjadi satu harapan golongan pencinta perubahan di dalam PAS khasnya dan masyarakat di luar PAS amnya, yang inginkan satu gerak kerja bersepadu, selaras dengan keputusan muktamar PAS ke-51 baru-baru ini.

Kemenangan Ustaz Nasharuddin Mat Isa sebagai timbalan presiden, Haji Husam Musa dan Haji Muhammad Sabu bagi jawatan naib presiden disamping pengekalan Datuk Dr Hassan Mohd Ali, amat menggembirakan seluruh akar umbi PAS serta masyarakat luar.

Mereka kini akan dipertanggungjawabkan untuk membawa perubahan itu. Diyakini kombinasi terutama di peringkat naib presiden ini, dapat meningkatkan momentum sokongan PAS di negeri-negeri tertentu.

Haji Muhammad Sabu sebagai seorang pemimpin dari utara, harus diberikan tanggungjawab mengurus momentum PAS bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Manakala Dr Hassan pula di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Manakala Haji Husam di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Mereka bertiga perlu sentiasa berhubungan dengan pesuruhjaya-pesuruhjaya negeri serta membantu perhubungan negeri.

Saya turut mengalu-alukan pemilihan Datuk Kamarudin Jaafar sebagai setiausaha agung PAS yang baru yang pastinya mampu bertugas setanding dengan Ustaz Nasharudin mahupun lebih baik daripadanya, sesuai dengan pengalamannya dalam Abim dan Umno.

Untuk jawatan pesuruhjaya PAS negeri yang masih belum diisi, diharap jawatankuasa PAS pusat dapat melantik muka-muka baru yang segar dan berwibawa bagi menggantikan beberapa pesuruhjaya yang sering sakit dan sudah tua.

Bagi negeri yang paling bermasalah dengan pesuruhjayanya, terutama Negeri Sembilan, saya mengharapkan perlantikan muka baru dapat dibuat kerana akar umbi di negeri terbabit tidak dapat menerima kepimpinan Dr Rosly Yaakub.

Sememangnya beliau diakui seorang pakar ekonomi tetapi beliau agak lemah dalam membuat keputusan sebagai seorang pesuruhjaya dan hanya melepaskan tanggungjawabnya kepada pusat. Pada kacamata saya, calon terbaik untuk menggantikannya adalah Setiausaha Perhubungan negeri sekarang.

Jabatan Pilihanraya PAS pusat juga perlulah direformasikan strukturnya dan anggotanya digantikan oleh muka-muka baru. Muka lama haruslah diberikan jawatan penasihat sahaja, sesuai dengan pertangungjawaban mereka di atas kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya umum yang lalu.

Antara calon yang layak dilantik sebagai pengarah pilihanraya PAS pusat yang baru ialah Haji Husam ataupun Dr Dzulkifli Ahmad atau Dr Hatta Ramli. Mereka merupakan pemimpin yang faham erti dan tindak-tanduk politik serta bacaan sebenar politik. Reformasi penstrukturan Jabatan Pilihanraya PAS pusat harus berlaku melalui penggabungan entiti seperti Pusat Penyelidikan PAS pusat supaya berada terus di bawah jabatan ini.

Begitu juga dengan Harakah di mana salah seorang anggota editorialnya perlulah dilantik dari kalangan jawatankuasa Jabatan Pilihanraya PAS Pusat kerana media yang merupakan instrumen penting dalam mengolah minda rakyat perlulah selari dengan strategi dan bacaan politik Jabatan Pilihanraya PAS Pusat.

Seterusnya jabatan pilihanraya di peringkat negeri juga haruslah direformasikan dengan menggantikan ahli jawatankuasanya dengan muka-muka baru. Jawatankuasa sekarang, terutamanya pengarahnya, perlulah diletakkan hanya sekadar bertaraf penasihat sahaja.

Di peringkat pusat pula, jawatankuasa baru ini haruslah mengadakan pelan bertindak jangka pendek sehingga tiba pilihanraya akan datang dan pelan bertindak jangka panjang selama sepuluh tahun, demi memajukan gerakan perubahan rakyat yang digembelingkan oleh PAS.

Mentaliti dan persepsi PAS sebagai parti pembangkang hendaklah dinyahkan dan diganti dengan slogan PAS bersama BA sebagai bakal kerajaan. Mudah-mudahan, dengan kerja kuat barisan pimpinan baru, dengan dibantu oleh kekuatan akar umbi PAS dan dengan hampir sejuta orang yang lengkap dengan ilmu tipu helah dalam pilihanraya, maka PAS bersama rakan politiknya yang lain, pastinya mampu untuk menumbangkan Umno.