Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Harga petrol: Guna timbang rasa bukan sekadar ikut pasaran

Kerajaan harus menentukan harga petrol bulanan menggunakan timbang rasa terhadap kesusahan rakyat dan bukannya mengikut harga pasaran semata-mata.

Sekiranya harga minyak sedunia meningkat secara mendadak kerana berlaku manipulasi dan spekulasi harga, dan kerajaan juga mengikut rentaknya secara membuta-tuli, ia akan memberi kesan buruk terhadap kadar inflasi negara kerana kos petrol merupakan kos kepada semua barangan.

Contohnya, sekiranya kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 30 sen bulan hadapan kerana kenaikan harga minyak sedunia sehingga para peniaga terpaksa menaikkan harga jualan untuk menampung kos pengangkutan yang meningkat, mustahil harga jualan ini akan menurun semula apabila harga petrol menurun semula di bulan-bulan seterusnya.

Jika kerajaan dapat menggunakan timbang rasa dalam menentukan harga petrol bulanan, kerajaan boleh memilih untuk mengekalkan harga petrol untuk sebulan dua ketika harga minyak sedunia melambung walaupun terpaksa menanggung sedikit subsidi daripada menaikkan harga petrol secara mendadak sehingga menyebabkan rakyat yang terpaksa menanggung kenaikan harga barangan yang akan kekal selamanya.

Sekiranya harga minyak sedunia terus naik, barulah kerajaan menaikkan harga petrol pada kadar berpatutan sejajar dengan kemampuan rakyat untuk menanggungnya.

Ingatlah bukan rakyat yang mendapat BR1M sahaja yang susah, mereka yang tidak layak mendapat BR1M bergaji sederhana di kota pun sama sahaja susahnya kerana kenaikan kos sara hidup yang mendadak yang berpunca bukan sahaja daripada harga petrol malah nilai ringgit yang lemah seperti yang dialami MyDIN.

Dan ia bukanlah satu indikasi yang baik untuk kerajaan jika lebih ramai rakyat mendapat BR1M tahun depan kerana ini bermakna bertambahnya rakyat yang mengalami kesempitan hidup dan berkurangannya kemakmuran negara.


DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN adalah Timbalan Presiden PAS

Lihat Komen
ADS