Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Iltizam kita jika diberi mandat mentadbir negara, kita mahu agensi-agensi kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat terbanyak, dibebaskan daripada penguasaan orang politik.

Sebagai contoh adalah MARA, Felda, Felcra dan Tabung Haji.

Hentikanlah amalan melantik mereka yang telah terpilih sebagai ahli parlimen, bekas-bekas menteri dan menteri besar yang semata-mata bertujuan membalas hutang budi dan kekecewaan tidak terpilih lagi sebagai wakil rakyat dan anggota kabinet.

Tolonglah jangan jadikan agensi-agensi kerajaan ini seperti "tong sampah" untuk menempatkan mereka yang tidak memiliki integriti, kepakaran dan kelayakan, semata-mata hanya mahu menyambung talian hayat politik mereka.

Parti Amanah Negara (AMANAH) berpendapat agensi-agensi kerajaan ini harus ditadbir oleh bekas-bekas dan pegawai-pegawai kerajaan yang terbukti punya integriti, kemahiran dan punyai rekod perkhidmatan yang baik, bersih dan cemerlang.

Tidak keterlaluan jika saya namakan seorang dua tokoh yang saya fikir sangat berkemampuan untuk menerajui agensi ini.

Mereka adalah Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan juga Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Kedua-dua sosok ini telah mencurahkan jasa besar kepada negara dan telah memperlihatkan kemampuan dan integriti mereka sebelum ini.

Malah bukan mereka sahaja. Saya yakin ramai lagi nama-nama yang boleh dibariskan untuk menerajui agensi-agensi kerajaan dan memacunya ke tahap lebih baik daripada yang ada hari ini.


SALAHUDDIN AYUB timbalan presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS