Saya amat tertarik untuk mengulas jawapan yang diberikan oleh Dr Mashitah Ibrahim mengenai hukum pelacuran dalam Islam yang tersiar dalam Metro (19 Jun) memandangkan jawapannya membawa seribu satu macam pentafsiran serta amat mengelirukan.

Dr Mashitah menyatakan jika dalam keadaan dharurat, pelacuran dimaafkan. Persoalannya, Malaysia bukannya negara yang dilanda kebuluran dan malapetaka. Malaysia sebuah negara Islam yang aman damai, negara membangun yang sedang menuju negara maju. Maka wujudkah istilah darurat?

Malaysia yang kaya-raya di mana ramai pendatang dengan izin dan tanpa izin datang mencari rezeki di sini, masih adakah ibu tunggal yang 'darurat' tidak dapat mencari sesuap nasi? Malaysia yang mempunyai pelbagai kementerian dan agensi untuk membantu mereka yang susah, terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat. Maka wujudkah keadaan darurat?

Kemudian Dr Mashitah mengatakan jika darurat ianya dimaafkan. Siapa yang memaafkan? Adakah hukum telah menetapkan secara automatik dimaafkan, atau perlu bertaubat nasuhah terlebih dahulu?

Sekiranya perkara ini tidak diperjelaskan, maka masyarakat akan mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan segala masalah di dunia ini atas nama 'darurat'. Contohnya si suami terpaksa meminjam daripada 'Along' untuk memulakan perniagaan apabila menghadapi masalah.

Maka 'Along' akan mengugut si suami, mungkin hingga membawa maut. Apakah ketika ini boleh digunakan istilah 'darurat' dan sang suami merelakan isterinya dilacurkan kepada 'Along' untuk membayar hutang?

Senario kedua pula ialah tentang seorang siswazah yang kesempitan wang, tidak mendapat biasiswa dan tidak pula mendapat pinjaman PTPTN. Hendak menghabiskan pengajiannya kerana hendak membantu adiknya yang ramai di kampung manakala ayahnya sudah tiada, ibu sudah tua. Apakah ini dikira 'darurat' dimana siswazah tadi boleh melacurkan diri hanya sekadar cukup untuk membayar yuran pengajian?

Sekiranya pelacur yang darurat tadi menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan lelaki Islam, apa pula hukum lelaki Islam yang ingin membantu perempuan yang dalam keadaan darurat tadi? Dimaafkan atau harus kerana ingin membantu, sunnat, makruh, wajib, mubah atau haram?

Sepatutnya tidak timbul istilah 'darurat' dalam pelacuran dalam negara kita Malaysia yang kaya, maju dan aman damai. Sesiapa yang masih lagi melibatkan diri dalam kegiatan pelacuran ini, kita mengharapkan mereka kembali ke pangkal jalan dan bertaubat.