Merujuk kepada isu kontroversi sekarang, saya sebagai rakyat Malaysia memohon kepada Kementerian Kesihatan supaya memberikan serba sedikit penjelasan mengenai isu pemberian jarum, kondom dan dadah (metadon) secara percuma , agar rakyat lebih memahami situasi sebenar.

Dengan itu, mereka akan dapat bertindak lebih rasional sama ada mengambil sikap menyokong, membantah atau mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung pelaksanaan pemberian jarum suntikan dan kondom serta dadah (metadon) percuma kepada penghidap HIV dan Aids dalam membendung penularan gejala tersebut.

Dapatkah pihak kementerian memberi jaminan bahawa mereka yang diberikan jarum percuma ini akan menggunakannya ketika menyuntik dadah ke dalam badannya? Terdapatkah kemungkinan mereka akan berkongsi jarum percuma berserta metadon, dengan penagih dadah lain, yang belum dihidapi virus HIV, terutama pelajar sekolah?

Apakah kemungkinan pesakit yang dibekalkan metadon tadi akan menjual metadon tadi untuk mendapatkan bekalah dadah jenis lain yang lebih banyak dan murah? Bagi penagih tegar, berapakah jarum suntikan yang diperlukan dalam masa sebulan? Jika tidak cukup, bolehkah mereka mendapat bekalan tambahan bagi mengelak mereka berkongsi jarum suntikan?

Dan adakah kondom percuma akan diberikan kepada pesakit Aids atau pembawa virus HIV yang sudah berkahwin sahaja? Apakah jaminannya yang pesakit yang diberikan kondom percuma ini hanya akan melakukan hubungan seks dengan isteri atau suaminya yang sah, bukannya dengan pasangan lain diluar nikah, kekasih atau pelacur?

Dapatkah diberi jaminan pesakit yang dibekalkan jarum dan kondom percuma ini tidak menjual bekalan ini dan meneruskan hidup dengan berkongsi jarum dan tidak menggunakan kondom, memandangkan dia sudah tiada harapan lagi untuk pulih dari penyakit dan pulih dari ketagihan dadah?

Perlukah diadakah pengenalan diri kekal kepada pesakit ini seperti 'tattoo', 'bakar kulit' atau gelang tangan yang tidak boleh dibuka, agar penagih dadah lain yang belum dijangkiti virus HIV atau pelacur yang belum dijangkiti HIV, dapat mengenal pasti rakan serta pelanggan mereka yang membawa virus HIV ini.

Ini juga akan memudahkan orang ramai, terutama petugas ambulans, bomba dan polis mengenali pembawa virus HIV ini agar mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai sarung tangan getah apabila pesakit tadi luka akibat kemalangan dan sebagainya.

Apakah tahap darurat pesakit yang akan dibekalkan jarum, kondom dan dadah percuma ini? Mereka yang sudah menghidap HIV sejak berapa tahun? Mereka yang sudah mengambil dadah sejak berapa tahun? Mereka yang mengadakan hubungan seks lebih daripada berapa kali dalam sehari, sebulan, setahun? Atau mereka yang mempunyai peluang hidup berapa hari, minggu, bulan atau tahun?

Di atas hanya beberapa persoalan asas sahaja yang perlu diperjelaskan kepada rakyat agar rakyat lebih memahami program pembendungan penyakit Aids di Malaysia.