Ramai pihak, terutama pihak berkuasa yang berkaitan dengan pembangunan padi negara, telah mengesahkan tentang harga padi bakal menjunam ke tahap yang akan membebankan lagi nasib beratus ribu keluarga pesawah padi di seluruh negara.
Bahkan, dikatakan kerajaan 'mesra rakyat' akan mengumumkan penurunan harga padi tersebut dalam pembentangan bajet tahunan yang dijangka September ini.
Selepas ini, hujah dan alasan yang akan diserap ke pelusuk minda pesawah padi ialah keperluan kerajaan bagi menurunkan harga padi kerana mematuhi Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta).
Sebelum meraih hadiah besar daripada kerajaan dengan penurunan harga padi ini, pesawah padi telah dihadiahkan dengan kenaikan kos racun rumpai dan baja tambahan serta barang keperluan harian yang tinggi.
Bayangkan betapa kerajaan hari ini yang sanggup menurunkan harga padi di saat semua harga barang keperluan naik mencanak termasuk petrol dan diesel. Ada lelucon yang popular yang mengaitkan BN sebagai 'barang naik'.
Penulis ingin membawa para pembaca meneliti dengan serius senario tragis yang bakal dihadapi beratus ribu keluarga pesawah padi di seluruh negara akibat penurunan harga padi yang menjadi lubuk rezeki mereka.
Harga padi akan diturunkan melalui pengurangan subsidi padi oleh kerajaan. Harga semasa bagi setan padi ialah RM550 manakala subsidi padi adalah sebanyak RM250 bagi setan padi yang menjadikan jumlahnya sebanyak RM800.
Jumlah ini bukan merupakan jumlah yang mutlak kerana ianya belum dipotong kadar padi basah dan hampas padi. Biasanya para pesawah padi akan memperolehi sebanyak RM760 bagi setan padi.
Hasil pengeluaran padi yang biasa diraih oleh pesawah bagi satu ekar ialah empat tan padi. Jadi, seorang pesawah padi yang mempunyai seekar sawah padi akan mendapat hasil pendapatan RM3,240 untuk enam bulan (kebanyakan sawah padi diusahakan dua kali setahun).
Jumlah sebanyak itu hanyalah merupakan pendapatan kasar pesawah padi kerana kos mesin padi, traktor membajak, racun rumpai dan baja tambahan masih belum lagi ditolak.
Kebiasaannya, kos pelbagai itu adalah sebanyak RM1,300. Justeru, pendapatan bersih bagi seorang pesawah padi hanyalah RM1,900 bagi menanggung kehidupan keluarganya selama enam bulan (RM330 sebulan).
Apa yang hendak dinyatakan di sini, bayangkan jika kerajaan terus bertegas untuk menarik balik subsidi padi. Berapakah jumlah pendapatan yang bakal hilang dari saku pesawah padi... hampir RM1,000!
Sekiranya keadaan sebegini berlaku, maka jalan pintas untuk pesawah padi hanyalah dengan memajakkan sawahnya kepada orang lain ataupun menjual tanah sawahnya dan kemudiannya membawa diri ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai jaga di bank.
Hendak diharapkan pembangkang pun, pemimpin yang bersifat ahli akademik yang ada sekarang bukannya pembela rakyat kerana masing-masing masih tidur lena dibuai angan-angan indah dapat menduduki kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)!
