Jika pada masa ini berlaku perdebatan hangat mengenai pemberian jarum dan kondom percuma untuk mengawal penyakit Aids. Maka tidak mustahil sekiranya pendekatan ini diterima pula selepas ini untuk menghalalkan pelacuran bagi membendung penyakit Aids.

Maka, tidak hairanlah mengapa Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, yang juga merupakan Ahli Parlimen Baling dalam ruangan 'Soal Jawab Agama' Harian Metro pada 19 Jun mengatakan dalam keadaan darurat, pelacuran dimaafkan.

Jika sebelum ini, mereka yang mencadangkan pemberian jarum, dadah dan kondom percuma ini, mengambil pendekatan negara Iran, maka tidak mustahil suara yang sama akan menyarankan agar diambil pula pendekatan negara Senegal di mana 92 peratus rakyatnya beragama Islam, yang menghalalkan pelacuran untuk membendung penyakit Aids.

Di Senegal, pelacur yang berdaftar dengan pihak kerajaan dan diberi lesen, dibenarkan melacur. Alasannya ialah pelacur yang berlesen ini akan diberi kursus bagaimana menjalankan kegiatan pelacuran mereka, dengan mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan penyakit Aids tersebar.

Apakah benar dengan menghalalkan pelacuran, maka pelacur akan lebih berpengetahuan untuk mengawal penyakit Aids? Beberapa kajian mendapati 75 peratus pelacur yang mendaftar di Senegal, menghidapi Aids, menjadi pembawa virus HIV atau beberapa penyakit kelamin lain.

Apakah Malaysia akan meneruskan projek pemberian jarum, dadah dan kondom percuma ini? Menghalalkan pelacuran? Dan seterusnya menghalalkan sesuatu yang haram? Diharapkan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jakim membuat kajian mendalam dan kesannya bukan hanya pada masyarakat Islam, bahkan rakyat Malaysia keseluruhannya.