Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sejurus seorang pemimpin tertinggi Umno didakwa atas tuduhan rasuah wang dalam pemilihan parti itu, banyak reaksi yang diterima setidak-tidaknya ada dua pandangan yang muncul semuanya berkait-rapat dengan kaedah laporan media mengenai jenayah 'rasuah tegar' ini.

Beberapa pemimpin atasan telah merancang sekatan media, agar laporan itu tidak mencemarkan imej parti. Namun begitu, ada suara bawahan yang menyokong cara media meneropong kes rasuah. Kata mereka, selagi hal ini tidak mendapat liputan meluas, akan bertambah ramai perasuah tegar ini.

Oleh itu, tidak boleh disalahkan media dalam melaporkan berita yang dianggap boleh menjejaskan reputasi parti kerana rasuah politik. Media melaporkan berita secara objektif, tidak berat sebelah dan tidak memihak. Paling penting, laporan itu bukan dengan niat memusuhi sesiapa atau menjatuhkan imej mana-mana pihak, kerajaan atau parti.

Maka, jika tiada rasuah dalam parti, mana mungkin imej parti akan binasa? Media tidak akan laporkan hal yang samar-samar, kecuali fakta yang benar dan sumber yang sah dan jelas. Justeru, tidak mungkin media melaporkan isu rasuah, melainkan melalui sumber Lembaga Disiplin Umno dan yang berkaitan.

Jika media tidak melaporkan rasuah dengan alasan memelihara citra parti, maka sindrom 'rasuah tegar' akan berterusan tanpa noktah. Jika tanpa laporan media pun, bak kata pepatah, mulut tempayan mana boleh ditutup.

Ertinya, tanpa media pun, perwakilan boleh memainkan peranan sebagai komunikator yang paling baik dan bertenaga dalam melaporkan garis-garis besar peristiwa kepincangan dalaman kepada orang luar, sama ada secara sengaja atau tidak.

Maka, tiada penawar yang paling baik melainkan kita rawat semula gejala 'rasuah tegar' ini. Umum perlulah disedarkan bahawa bahaya rasuah sama beratnya dengan gejala 'dadah tegar'. Selagi mana kita tidak memandang jijik kepada perasuah dan politik wang, maka perjuangan untuk membebaskan bangsa daripada belenggu rasuah ini tidak akan selesai.

Akhirnya, jika Islam Hadhari adalah gagasan kemajuan umat Islam, apa salahnya jika kita melancarkan gagasan 'Umno Hadhari' ke arah merangsang jiwa serta pemikiran umat bagi memulihkan struktur akar, dahan, ranting dan dedaunan bangsa ini daripada dilema rasuah tegar.

Penulis adalah dari Sekretariat Pelajar Kewartawan Muslim (Sepkom).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS