Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PKR Pahang menjunjung kasih di atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah di Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Pahang pada 2 Mei 2017 lalu.

Baginda menyarankan Jemaah Pengampunan Pahang memakai guna kaedah pengampunan atau pemberian maaf oleh keluarga mangsa pembunuhan kepada banduan yang disabitkan kesalahan membunuh.

Pemangku Raja Pahang dalam titah baginda secara spesifik menyarankan prinsip-prinsip jurispruden Islam iaitu "diyat" sebagai alternatif kepada hukuman mati, atas permohonan yang dimajukan kepada Jemaah Pengampunan Pahang.

Diyat atau pemberian pengampunan atau pemberian maaf oleh keluarga mangsa kepada banduan yang disabitkan merupakan salah satu elemen penting dalam pentadbiran keadilan Islam yang mengetengahkan prinsip kemaafan dan kasih-sayang serta tidak berdendam.

Ia juga secara tidak langsung mempamerkan citra sebenar Islam sebagai agama kasih-sayang dan tidak semata-mata menghukum.

Diyat secara efmologinya diertikan sebagai denda atau penebusan yang mana seseorang banduan boleh meminta kemaafan atau pengampunan dari waris atau keluarga mangsa.

Keluarga mangsa juga berpeluang memberikan kemaafan kepada banduan yang disabitkan kesalahan membunuh dengan cara membayar denda atau penebusan berupa sejumlah harta yang bernilai.

PKR Pahang percaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah merujuk kepada firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 178, yang keluarga mangsa diberikan kebebasan memberi maaf kepada banduan.

Dalam keadaan ini, diyat atau denda hendaklah dikenakan yakni dengan membayar dalam bentuk harta yang bernilai kepada keluarga mangsa.

Tuanku Pemangku Raja Pahang turut bertitah bahawa cadangan memakai guna diyat ini bukanlah terhad kepada banduan Muslim sahaja tetapi boleh diaplikasikan oleh mereka untuk banduan bukan Islam atas prinsip yang sama.

Sesungguhnya titah baginda ini sangat bertetapan dengan prinsip Islam rahmatan lil alamin (Islam rahmat sekalian alam) serta membuktikan ketinggian Islam itu sendiri.

PKR Pahang turut berpandangan peraturan serta peruntukan undang-undang sedia ada yang diberikan kepada Jemaah Pengampunan Pahang tidak menghalang dan memberikan ruang bagi membolehkan diyat dilaksanakan.

PKR Pahang sekali lagi menjunjung kasih atas titah Pemangku Raja Pahang yang bersesuaian serta bijaksana dan memartabatkan prinsip keadilan Islam.

PKR Pahang menyeru dan menggesa kesemua pihak yang berkaitan mengambil tindakan sewajarnya serta segera bagi membolehkan hasrat dan cita-cita murni baginda dapat direalisasikan.


DATUK FAUZI ABDUL ABDUL RAHMAN pengerusi PKR Pahang.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS