Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam Islam, keselamatan terbahagi kepada lima perkara; agama, nyawa, maruah, harta dan keturunan. Tafsiran mengenai keselamatan juga haruslah diseragamkan di tahap negara atau persekutuan. Antara dilema terbaru yang menyebabkan kegagalan kerajaan mengambil tindakan undang-undang ke atas ajaran sesat di Terengganu adalah kerana di Malaysia, hal-ehwal agama di bawah kuasa negeri.

Sebelum mengorak langkah lebih jauh untuk membincangkan masalah ini, terdapat hadis Rasulullah Saw, berbunyi: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengangkat ilmu itu dengan mencabutnya (ilmu) dari dada manusia, melainkan dengan cara mematikan para ulamak. Apabila ketandusan ulamak, maka manusia akan mengangkat seorang insan yang jahil sebagai ketua mereka".

Rasulullah menyambung sabdanya lagi: "Kemudian, mereka akan bertanya pemimpin mereka itu darihal apa sahaja, maka pemimpin (yang sesat) tadi akan berfatwa dengan ketiadaan ilmu. Maka, dia (pemimpin) itu sesat dan menyesatkan (pengikutnya)."

Betapa seriusnya ajaran sesat ini, sehingga Rasulullah berpesan bahawa tahap paling serius adalah ketika mana seorang pemimpin yang sesat akan menyesatkan orang lain. Hal ini tidak sama dengan orang yang murtad (keluar dari Islam) secara diam. Mereka tidak menyebar dakyah seperti pendiri ajaran sesat. Dengan membiarkan seorang lelaki sesat ini, kita memberi peluang kepadanya menyesatkan orang ramai.

Berbalik kepada takrifan 'keselamatan' di atas. Islam meletak keselamatan agama di tempat pertama mengatasi perkara lain. Dengan itu, gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin baru-baru ini agar Ayah Pin dikenakan tindakan ISA perlu mendapat perhatian serius daripada Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Dari itu, berdasarkan hadis di atas, maka wajarlah kerajaan persekutuan bertindak segera kerana kemaslahatan agama adalah suatu keutamaan dalam negara Islam Hadhari. Tidak wajar dibiarkan elemen kesesatan menumbuhkan benih kekeliruan dalam kalangan rakyat bagi tempoh yang lama. Ini petaka buruk yang melemahkan Islam Hadhari.

Ertinya, kita tidak lagi menganggap bahawa 'keselamatan' tergugat hanya dengan dengan bukti yang menunjukkan keterlibatannya dengan militan. Tapi juga membabitkan fahaman yang mengelirukan Muslimin ke atas agama Islam sebagai agama persekutuan.

Jika tidak dengan faktor di atas, hingga peringkat manakah yang dikatakan ajaran ini boleh dianggap menggugat keselamatan negara? Adakah kita hanya menunggu hingga terbukti bahawa kerajaan langit mempunyai satu set peralatan senjata yang lengkap untuk memusnahkan kerajaan di bumi?

Kita mestilah menginsafi bahawa 'perang pemikiran' itu lebih banyak mudaratnya daripada 'perang berdarah'. Sebab itu, al-Qur'an menjelaskan, "Fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh" (2:191). Dalam hal ini, telah berlaku fitnah ke atas agama Islam di mana ramai Muslimin ikut terjebak di dalam amalan dan fahaman yang mengelirukan itu.

Sementara itu, menurut kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar dalam wawancaranya ( Berita Minggu , 10 Julai) yang lalu, ajaran sesat itu di bawah undang-undang kerajaan negeri. Justeru, katanya, kerajaan persekutuan tidak ada kuasa untuk menangkap kumpulan berkenaan.

Jika demikian, adalah disyorkan agar Dewan Rakyat membahaskan pembentukan Kementerian Agama dalam kerajaan persekutuan. Dengan itu, semua perundangan dalam hal agama dipusatkan atau diseragamkan seluruhnya bagi mengatasi masalah ini.

ADS