Paling Popular
Terkini

Berikutan tindakan Universiti Malaya (UM) membenarkan sistem "pengambilan langsung" bagi program sarjana muda kejuteraan dengan bayaran yang cukup mahal pada RM90,000.

Saya selaku perwakilan-perwakilan mahasiswa Universiti Malaya (UM) memohon agar tindakan ini dibincangkan dan difikirkan semula bersama wakil-wakil pelajar dan persatuan-persatuan di UM.

Saya khuatir kesan daripada sistem ini akan menyebabkan pihak fakulti terdorong untuk mengurangkan kuota pengambilan mahasiswa melalui sistem Unit Pengambilan Universiti (UPU) atas faktor kewangan dan secara langsung akan menyebabkan mahasiswa daripada golongan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana terkesan.

Kenapa perlu mengelirukan peranan universiti ini sebagai universiti awam dengan mengenakan kos yang terlalu tinggi sehingga mencecah belasan ribu bagi setiap semester?

Kami percaya dorongan keuntungan daripada sistem ini seterusnya akan menyebabkan amalan ini berterusan dan malah akan turut diterima pakai di fakulti-fakulti yang lain di UM demi menjana pendapatan.

Malah daripada itu, sistem ini tidak dinyatakan secara jelas akan had jumlah pelajar melalui sistem ini, sekali lagi tiada klarifikasi yang jelas menyebabkan ramai mahasiswa universiti ini tertanya-tanya apa nasib mahasiswa yang berpendapatan sederhana dan rendah yang memohon ke Universiti Malaya pada masa akan datang.

Saya menyedari bahawa sistem ini diwujudkan bagi menjana pendapatan fakulti berikutan pemotongan bajet universiti-universiti awam khususnya Universiti Malaya sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Tindakan kerajaan mengakibatkan mahasiswa terkesan dengan pelbagai implikasi.

Justeru, saya berharap agar pihak pentadbiran Universiti Malaya memberi justifikasi kepada sistem ini dan saya juga menggesa agar kerajaan meningkatkan peruntukan tahunan bagi universiti-universiti awam di Malaysia supaya mahasiswa-mahasiswa tidak sengsara lagi.


Ahmad Syifaa Abd Khaliq adalah Ahli Majlis Perwakilan Pelajar merangkap Exco Dakwah dan Kemanusiaan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Surat ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS