Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Untuk segala sesuatu ada masanya, untuk apa pun di bawah langit ada waktunya. Ada waktu untuk lahir, ada waktu untuk meninggal, ada waktu untuk menanam, ada waktu untuk mencabut yang ditanam.” Pengkhotbah 3:1-2

Sekali lagi kita di sini, bersiap sedia untuk meraikan Gawai, yang menjadi sebahagian besar daripada kitaran hidup yang kita alami di sudut dunia ini. Setiap kali Gawai menjelang, saya teringat bahawa ini adalah satu sambutan yang kita menerima selepas suatu musim kita bekerja keras sebagai petani.

Kepada masyarakat pribumi yang berasal dari Sarawak, usaha ini adalah suatu proses wajib untuk membolehkan mereka mengekalkan taraf hidup mereka. Jika mereka tidak melakukan kerja yang diperlukan setiap musim, mereka tidak akan mendapat apa-apa pada akhir kitaran.

Bagi penanaman sawah padi, proses susunan untuk menyediakan semai (benih), membersih dan menyediakan bidang padi (dengan membanjiri air, kemudian penyaliran bidang tersebut untuk melembutkan tanah itu), pemindahan benih, turun padang dan menghapuskan perosak, akhirnya, menuai padi.

Bagi penanaman padi kering atau pertanian pindah adalah berbeza. Pertama, tempat itu perlu dikenal pasti, kemudian semak-samun dibersihkan (‘lemidik’). Kemudian itu ‘temara’ atau penebangan pokok-pokok yang kemudiannya dibakar apabila mereka telah kering (‘nutung’).

Menyemai (‘nguan’), dilakukan berpasangan, adalah dengan membuat lubang di dalam tanah dan menjatuhkan beberapa bijiran padi dalam lubang itu.
Sementara benih itu bertumbuh, para petani akan pergi ke ladang itu dan membersihkan rumput sekitar tumbuhan itu (‘demamu’), sehingga tiba masanya untuk menuai padi (‘ngerani’).

“Pada musim dingin si pemalas tidak membajak; jikalau ia mencari pada musim menuai, maka tidak ada apa-apa” - Amsal 20:4

Saya selalu membantu keluarga saya dengan kedua-dua masa penanaman padi dan pengalaman itu berakar umbi di dalam saya bahawa jika kita tidak bekerja keras, kita akan kelaparan.

Semestinya, kadangkala terdapat beberapa faktor yang di luar kawalan kita yang akan memberi kesan kepada tuaian kita, seperti cuaca, atau penyakit.

Namun demikian, kita harus menjalankan tugas kita setiap musim jika kita mempunyai segala peluang untuk menuai.

Bagi masyarakat pribumi, setiap peringkat dalam proses penanaman dijalankan dengan cara gotong-royong.

Setiap orang akan bekerjasama di semua ladang untuk memastikan bahawa setiap keluarga mendapat hasil tuaian yang baik.

Syukuri apa yang ada

Semangat Gawai mengajar kita untuk bersyukur dalam segala yang kita ada.

Pada masa lalu, sebelum musim tuai, nenek moyang kita akan berdoa kepada roh-roh atau pemberkatan dari segala tuhan, manakala pada masa kini, kita meminta berkat-berkat dari Tuhan untuk tuaian yang baik.

Ramai antara kita bukan para petani, tetapi kita bekerja untuk menyara hidup, dan seperti semua petani, kita juga harus bersyukur dengan apa yang kita menuai.

Seperti petani, kehidupan kita dipengaruhi oleh faktor-faktor di luar kawalan kita. Dalam kes kita, ekonomi, dasar kerajaan dan pengurusan sumber-sumber kerajaan kita adalah sebahagian dari faktor-faktor tersebut.

Negara serta rakyat kita akan melalui masa yang sukar sekarang. Seperti para petani, kita perlu bekerjasama untuk memastikan hasil yang baik untuk semua.

“Dan buah yang terdiri dari kebenaran ditaburkan dalam damai untuk mereka yang mengadakan damai.” - Yakobus 3:18

Antara perkara-perkara yang paling mengancam untuk ‘tuaian’ kita dan juga kenikmatan secara aman adalah rasuah, ketaksuban, pelampau agama, dan radikalisme, dan yang paling membimbangkan, sikap orang ramai yang tidak peduli dan berdiam diri dalam menghadapi ancaman tersebut.

Kita semua harus memainkan peranan kita untuk menjadi pendamai, untuk bangun dan menolak segala ancaman tersebut. Sudah tiba masanya untuk rakyat sedar bahawa nasib negara kita ada di tangan kita, dan bukan pada ahli politik atau parti politik.

Ini adalah waktunya untuk membiarkan suara sederhana dari majoriti yang senyap untuk didengari.

“Pada waktu kamu menuai hasil tanahmu, janganlah kau sabit ladangmu habis-habis sampai ke tepinya, dan janganlah kau pungut apa yang ketinggalan dari penuaianmu.” ~Imamat 19:9

Akhirnya, sebagaimana kita meraikan tuaian yang baik ini dengan penuh kegembiraan dan keramaian, janganlah kita lupa golongan yang miskin antara kita.

Datuk saya selalu memberitahu saya bahawa ia adalah adat Lun Bawang untuk tidak menuai seluruh tanaman, tetapi tinggalkan beberapa di ladang-ladang tersebut.

Begitu juga, apabila kita mengumpul buah-buahan, kita tidak memetik sehingga pokok itu terdedah, tetapi tinggalkan beberapa buah untuk orang lain yang memerlukan.

Oleh itu, dalam usaha seharian kita untuk meneruskan hidup dan maju, kita tidak boleh melupakan mereka yang kurang bernasib baik daripada kita - orang miskin, orang sakit, janda dan anak yatim-piatu.

Marilah kita berkongsi hasil tuaian yang baik selagi kita mampu, kerana ini juga semangat Gawai.

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada semua rakan-rakan Dayak saya.

Do aco Gawai.
Gayu guru, gerai nyamai.


BARU BIAN angggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan dan pengerusi PKR Sarawak.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS