Saya terpanggil untuk menulis tentang Kedutaan Malaysia di Jepun setelah mengalami sendiri pengalaman yang kurang menyenangkan semasa berhadapan dengan dua orang kakitangan mereka.

Permohonan saya untuk memperbaharui pasport ditolak kerana fotokopi dokumen saya seperti kad pengenalan, paspot dan lain-lain tidak bersaiz A4. Saya faham, peraturan patut dipatuhi tetapi cara mereka melayan pemohon termasuk warganegara asing yang ingin mendapatkan visa, langsung tidak budi bahasa. Hendak bertanya pun terpaksa menunggu giliran dan perkhidmatannya pula sungguh lembab.

Papan kenyataan menunjukkan waktu permohonan adalah 9 pagi hinggga 12 tengah hari setiap hari bekerja, tetapi saya pernah sampai jam 11.33 pagi pada hari Jumaat, tetapi kaunter telahpun ditutup. Manakala panggilan telefon hanya akan dilayan antara jam 2 hingga 5 petang.

Saya amat berharap agar Kedutaan Malaysia di Jepun dapat mencontohi Kedutaan Jepun di Malaysia dengan menyediakan lamanweb yang cukup informasi mengenai permohonan pasport, visa dan lain-lain.

Malaysia patut berasa malu kerana negara-negara kurang maju seperti Bangladesh, Kemboja, Nepal, Malawi dan Uganda, mempunyai lamanweb kedutaan mereka di Jepun. Kedutaan Malaysia boleh?