Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hubungan baik antara Malaysia dan Qatar selama ini tidak seharusnya menjadi pertikaian mana-mana pihak.

Ia malah harus ditingkatkan lagi dari masa ke semasa.

Semenjak Qatar menjadi sasaran segelintir negara Arab yang mengambil keputusan drastik memutuskan hubungan diplomatik dengannya, banyak pihak mula tertanya-tanya sama ada Malaysia ingin mengikuti jejak langkah itu.

Perlu diingatkan, fokus dalam menilai semula sebarang hubungan diplomatik tidak perlu menyasarkan negara Qatar.

Negara yang perlu menjadi sasaran utama sekiranya kita ingin menilai semula hubungan diplomatik negara kita adalah negara Myanmar dan Korea Utara.

Seperti yang diketahui umum, semenjak kebelakangan ini banyak isu jenayah kemanusiaan telah dilemparkan terhadap negara Myanmar khusus yang membabitkan nasib yang menimpa etnik Rohingya yang menjadi sasaran junta serta golongan ekstremis agama buat sekian lama.

Ramai etnik Rohingya lari ke negara-negara lain, termasuk Malaysia, bagi menyelamatkan diri mereka dari penindasan dan penghapusan etnik di sana.

Mengikut rekod kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, nasib buruk yang menimpa etnik terbabit telah berlaku semenjak zaman pemerintahan junta tentera sekitar tahun 1970-an.

Malah ada yang menyatakan bahawa nasib buruk itu berlaku lebih awal lagi.

Jika benar, adalah menjadi kekhuatiran semua pihak nasib yang menimpa etnik minoriti berkenaan boleh menjadi isu kemanusiaan yang besar serta memerlukan campur tangan asing dengan segera.

Malaysia pun telah mengambil beberapa langkah drastik bagi menghulurkan bantuan dan menyatakan sokongan terhadap etnik Rohingya, namun ia sering kali dipandang rendah dan oleh kerajaan Myanmar.

Perkara yang sama juga berlaku dengan negara Korea Utara baru-baru ini yang melibatkan insiden misteri pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Semenjak peristiwa pembunuhan Jong-nam pada 13 Februari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pelbagai cemuhan dan tohmahan dilemparkan oleh duta Korea Utara serta kerajaan republik itu terhadap Malaysia yang giat menjalankan siasatan.

Duta Korea Utara di Malaysia bukan sahaja dilihat tidak membantu terhadap kes pembunuhan berkenaan malah mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina Malaysia seperti tidak percaya terhadap siasatan pihak berkuasa negara ini serta tuduhan bersengkongkol dengan negara musuh ketatnya seperti Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Berdasarkan perkara ini, Malaysia sebagai negara yang merdeka dan berdaulat perlu menyatakan pendirian yang lebih keras terhadap negara Myanmar dan Korea Utara.

Fokus utama terhadap sebarang proses penilaian semula hubungan diplomatik harus diberikan terhadap dua negara yang telah dinyatakan di atas iaitu negara Myanmar dan Korea Utara, bukannya terhadap negara Qatar.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS