Paling Popular
Terkini

Pengumuman penting yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada warga Felda hari ini membuktikan komitmen kerajaan untuk terus membantu warga peneroka menjana pendapatan.

Pelbagai insentif dalam bentuk tunai, pelupusan hutang, pinjaman tanpa faedah, geran dan dana khas dihadiahkan kepada warga peneroka Felda dengan peruntukan melebihi RM4.2 billion iaitu dua kali ganda perbelanjaan tahunan agensi itu pada 2015 yang berjumlah RM2.1 billion.

Pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 kepada setiap peneroka, dana khas berjumlah RM300 juta bagi melupuskan lebihan hutang tanam semula dan pelupusan sebahagian baki pinjaman saham Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) yang melibatkan 77,000 peneroka akan mengurangkan beban hutang peneroka yang selama ini menjadi isu yang dimainkan pihak pembangkang.

Pinjaman tanpa faedah bagi tujuan pembesaran rumah dan kebenaran membina lebih daripada satu unit rumah di dalam satu tapak menunjukkan bahawa kerajaan mahu generasi Felda seterusnya mempunyai rumah yang selesa di tapak sendiri dan dekat dengan keluarga masing-masing.

Geran khas tanaman semula oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang melibatkan RM7,500 bagi setiap hektar memastikan kelangsungan pendapatan peneroka pada masa hadapan.

Insentif tunai RM5,000 bagi setiap keluarga peneroka merupakan durian runtuh selepas pelupusan hutang tanam semula dan pelupusan baki pinjaman saham FGV.

Ini adalah bukti bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan peneroka-peneroka Felda walaupun mereka sering menjadi sasaran dan modal politik pembangkang yang ketandusan idea.

Bantuan terus yang diberikan kepada peneroka ini adalah contoh jelas perbezaan kepimpinan terdahulu yang mementingkan golongan tertentu dengan kepimpinan sekarang yang mementingkan nasib golongan kebanyakan seperti peneroka Felda.

Walaupun ada 17,000 peneroka yang termakan dakyah dan hasutan pembangkang dengan tidak menghantar hasil kepada Felda dan menyaman Felda, Najib tidak melupakan mereka dengan mengumumkan peluang kepada kumpulan itu untuk kembali bermuafakat bersama-sama bagi membolehkan mereka menerima segala insentif yang diumumkan hari ini.

Begitulah besar jiwa pemimpin sejati yang tidak memilih kasih, tidak menyimpan perasaan dendam dan tidak menafikan hak-hak orang lain walaupun menerima pelbagai tohmahan, fitnah dan nista.

Berkat tunjuk ajar, warisan daripada ayahanda beliau yang menubuhkan Felda untuk membantu golongan peneroka.

Kumpulan peneroka Felda yang terkhilaf ini perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada kejujuran seorang pemimpin yang tidak berkira dengan mereka. Mereka juga perlu berbesar hati menyambut peluang yang diberi dalam tempoh enam bulan.

Fikirlah sebaiknya demi masa depan anak-anak dan cucu-cucu.

Saya yakin sokongan peneroka Felda kepada perdana menteri dan Umno/BN akan terus kukuh kerana mereka mengetahui siapakah yang selama ini dan akan terus membela nasib mereka.


SHAHRIL HAMDAN ialah exco Pemuda Umno Malaysia dan pengerusi Biro Profesional Muda.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS