Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Kenapa PSM menentang Mahathir?
Diterbitkan:  Jul 24, 2017 9:36 PM
Dikemaskini: 1:50 PM

Ramai orang salah faham atau buat-buat tidak faham apabila Parti Sosialis Malaysia (PSM) menentang Tun Dr Mahathir Mohamad.

PSM menolak Mahathir bukan kerana kami suka bermusuhan, berdendam, tidak tahu memaafkan orang, sudah diberi 'makan dedak' oleh Datuk Seri Najib Razak atau sebab-sebab lain yang cuba digambarkan mereka yang tidak suka dengan 'posisi' PSM.

PSM hanya bertanding kurang 3 peratus kerusi Parlimen dan 3 peratus kerusi DUN di seluruh negara, maka 97 peratus kerusi bukan di bawah pengaruh kami. Maka tuduhan kami akan pecahkan undi dan lain-lain hanyalah bagi mereka yang tidak faham matematik.

PSM menentang Mahathir kerana pegangan dan posisi beliau dalam pelbagai isu. Sistem dan institusi korup yang dibawa Mahathir kini disempurnakan lagi oleh budak didikannya bernama Najib. Antara isu di zaman Mahathir adalah:

i. Penswastaan kemudahan awam, konsesi tol kepada syarikat berkaitan Umno

ii. Penggunaan undang-undang zalim seperti ISA, Akta Percetakan dan sebagainya

iii. Pendirian perkauman

iv. Isu pekerja seperti gaji minima dan kesatuan sekerja

v. Penahanan musuh politiknya termasuk penahanan Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Dr Nasir Hashim

vi. Melemahkan institusi kehakiman, perundangan dan polis.

vii. Sistem kroni dan menyelamatkan syarikat milik anaknya, isu Perwaja dan tukaran wang asing (Forex).

viii. Projek IC dan sebagainya.

Rakan seperjuangan kami dalam menentang semua isu ini dahulu adalah DAP, PKR dan lain-lain.

Adakah pendirian mereka dengan semua perkara di atas kini sudah berubah? PSM masih berpendirian posisi kami dari dulu sehingga sekarang masih sama.

Namun hari ini, Mahathir tidak pernah mengakui salah dalam mana-mana satu isu di atas.

Tidak pernah sekali dalam ratusan sidang akhbar dan ceramah Mahathir mengatakan beliau sudah insaf atau meminta maaf.

Mahathir hanya berkata silap memilih Najib, sebagaimana beliau silap memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sekarang beliau dianggap sebagai “Top Dog” untuk Pakatan Harapan. Adakah ini bererti semua posisi yang diambil dulu oleh beliau betul?

'Isu peribadi Najib'

Pembangkang hari ini tidak mahu memfokus kepada isu-isu besar dan hanya mahu melawan isu peribadi Najib dan 'cincin Rosmah'.

Mereka memfokuskan isu 1MDB dan seperti kajian Rafizi Ramli, ini bukan isu terbesar di kepala ramai rakyat Malaysia.

Bagi mereka jika pemimpin teratas di buang, semua di bawah akan jadi betul. Ini tidak ada beza dengan kempen menentang Mahathir dulu.

PSM menentang Najib dan Mahathir atas sebab yang sama. Mereka mendukung sistem yang sama. Adakah Pakatan Harapan akan bercerai dari sistem ini atau adakah Mahathir sendiri sudah membuat U-Turn?.

PSM tidak membuat sebarang U-Turn. Kami terus berjuang untuk isu seperti tabung pemberhentian pekerja, menentang sistem kerja kontrak, mendesak untuk mendapatkan pendidikan dan hospital percuma, membela isu peneroka, orang asli, pekerja ladang, petani dan sebagainya.

Kami tidak pernah membazirkan masa mengutuk peribadi Mahathir, Lim Kit Siang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datin Seri Rosmah Mansor, Najib, Mohamad Sabu dan lain-lain.

Kami juga tidak pernah memainkan isu pekauman dan agama untuk jadi popular.

Politik kami adalah memajukan aspirasi majoriti rakyat dan pelbagai isu harian mereka seperti isu gaji, perumahan, penangguran, kesihatan dan lain-lain.

Kami hanya mampu membawa idea baru, nafas baru dalam udara yang tepu.

Kami memilih lawan institusi, politik dan sistem sekarang yang dibawa oleh Najib. Malangnya kami tidak dapat melihat Mahathir sebagai penyelamat kerana beliau adalah sebahagian daripada sistem korup ini.


S. ARUTCHELVAN ialah Anggota Jawatankuasa Pusat PSM.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS