Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Landasan KTMB dan laluan pantai timur perlu dinaiktaraf

Merujuk pada soalan nombor lapan yang saya kemukakan pada sesi pertanyaan lisan bertarikh 24 Julai lalu, saya meminta menteri pengangkutan menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk menaiktaraf jalan kereta api ke Pantai Timur menjadi rel berkembar.

Jika ya, bila projek tersebut akan dimulakan.

Jawapan bertulis dari kementerian pengangkutan menjelaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melaksanakan projek rel berkembar dan eletrifikasi, melainkan kerajaan melaksanakan projek membaikpulih dan menaiktaraf infrastruktur landasan dan jambatan keretapi di Pantai Timur yang berkos sekitar RM 868.5 juta dan dijangka siap pada tahun 2019.

Saya bersetuju dengan projek pembaikan landasan dan jambatan ini untuk keselesaan rakyat Malaysia, walau bagaimanapun adalah lebih mustahak jika kerajaan persekutuan juga mewujudkan laluan rel berkembar dan eletrifikasi untuk laluan Pantai Timur.

Ini kerana dengan terbentuknya laluan yang memberi akses pada kereta api barangan (freight), maka pergerakan rakyat dan aktiviti ekonomi mejadi lebih cepat dan efisien.

Kawasan yang dilalui oleh Keretapi Pantai Timur (Gemas - Tumpat) adalah wilayah pedalaman yang mempunyai hasil bumi yang banyak.

Kewujudan sistem perhubungan yang baik dan efisien akan meningkatkan pengeluaran dan pemasaran hasil bumi yang memberi impak positif pada sektor pertanian, perlombongan, pengilangan dan pembuatan.

Potensi baharu ini akan menyebabkan lebih banyak kawasan di sepanjang jajaran kereta api ini akan dimajukan dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia khususnya di negeri Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan.

Saya yakin sekiranya projek rel berkembar dan eletrifikasi direalisasikan, maka bandar-bandar sedia ada seperti Kuala Lipis, Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah akan memperoleh manfaat dari penaiktarafan yang penting dalam sistem rel ini.

Untuk jangka masa panjang, KTMB berpotensi untuk melaksanakan sistem komuter untuk sektor Pantai Timur, seperti yang sudah wujud di Lembah Klang dan sektor utara.

Seharusnya kerajaan persekutuan menerima idea ini sebagai langkah untuk memajukan sistem pengangkutan awam di seluruh negara.

Sebelum layak digelar sebagai Bapa Pengangkutan Awam, Perdana Menteri Najib Razak perlu memastikan kerajaan persekutuan menaiktaraf landasan KTMB sedia ada menjadi rel berkembar dan eletrifikasi, untuk memastikan rakyat di Pantai Timur mendapat manfaat dari segi perancakan aktiviti ekonomi dan mobiliti.


DR HATTA RAMLI adalah Ahli Parlimen Kuala Krai yang mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH).

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS