Benar atau tidak, Pak Lah dikatakan sedang memikirkan bagaimana hendak merombak kabinetnya kerana yang ada sekarang berupa sambungan dari kabinet Dr Mahathir Mohamad dahulu, supaya tidak begitu nampak yang beliau mahukan pasukannya sendiri sejak dari awal-awal lagi.

Ini tradisi Umno. Bila mengambilalih dari pemimpin lama, banyak hati yang hendak dijaga. Malah kalau tidak kena gaya, kambing-kambing tua pun boleh menendang singa baru. Lebih-lebih lagi singa baru itu pernah menjadi 'penderhaka' dalam parti.

Malangnya, dalam kerajaan perikatan seperti Barisan Nasional (BN), perdana menteri tidak mempunyai hak mutlak untuk melantik atau membuang seseorang menteri, kecuali kesalahannya begitu ketara sekali di mana parti yang diwakilinya sendiri tidak boleh melindunginya.

Pak Lah tahu rakyat jelata sudah muak dengan sesetengah muka dalam kabinet sekarang yang tidak terasa langsung untuk berundur untuk menghabiskan tahun-tahun ini dengan keluarga dan sebagainya.

Pertama sekali, Pak Lah tidak boleh bertindak sendiri membuang ketua-ketua parti komponen BN. Inilah had kuasa perdana menteri di Malaysia dalam sistem kerajaan perikatan ini.

Namun begitu, bagi menteri-menteri dari Umno sendiri, sudah sampailah masanya bagi menggantikan beberapa menterinya yang mampu lagi memberi sumbangan.