Paling Popular
Terkini

PAS dengan tegas meletakkan masalah Rohingya sebagai isu yang memerlukan satu tindakan berkesan daripada kerajaan Malaysia dan seluruh kerajaan umat Islam di dunia ini.

Justeru, ketegasan Wisma Putra yang berani mengambil sikap tidak bersetuju dan menolak kenyataan dikeluarkan pengerusi Asean berhubung isu kemanusiaan di Myanmar amat dialu-alukan.

Selayaknya, Asean mesti bersama dengan masyarakat antarabangsa memberikan tekanan yang kuat dan berterusan kepada kerajaan Myanmar bagi segera memberhentikan penindasan ke atas etnik Rohingya di Arakan.

Namun pada masa yang sama, Malaysia tidak boleh sekadar berkecuali daripada kenyataan dikeluarkan pengerusi Asean itu.

Sebaliknya Malaysia mesti menunjukkan komitmen sebenar dalam isu ini dengan merintis suatu pelan tindakan bersama peringkat nasional dan global agar menjadi teladan kepada negara-negara anggota Asean lain.

Untuk itu, PAS buat kesekian kalinya menegaskan bahawa kerajaan Malaysia perlu:

  1. Segera mengadakan sidang khas parlimen bagi memuktamadkan tindakan yang wajar diambil oleh kerajaan
  2. Memberikan kata dua dan tekanan diplomatik selayaknya kepada Myanmar
  3. Menganjurkan mesyuarat tergempar dengan negara-negara yang mempunyai pendirian sama dengan Malaysia dalam isu ini untuk mengambil langkah bersama efektif menangani penderitaan Rohingya.

Saya percaya, kita semua boleh berganding bahu untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dalam isu ini.


NASRUDIN HASSAN ialah ketua penerangan PAS merangkap anggota parlimen Temerloh.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS