Paling Popular
Terkini

Saya kesal dengan cadangan menggunakan 100 peratus tenaga pekerja asing dalam sektor pembuatan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini.

Cadangan yang dikemukakan adalah tidak relevan sama sekali dari aspek pembangunan ekonomi dan sosial negara pada hari ini, dan mempamerkan sikap acuh tak acuh kerajaan dalam menjaga kebajikan tenaga kerja tempatan.

Seharusnya tindakan yang berteraskan kepentingan rakyat diambil bagi mengurangkan beban kelompok B40, M40 dan belia yang kian terkesan dengan ketidakstabilan ekonomi negara serta peluang pekerjaan yang semakin merudum.

Saya berpandangan bahawa pertimbangan yang dicadangkan oleh Nur Jazlan tidak wajar dan memihak pada pihak berkepentingan.

Ia juga jelas bertentangan dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot pada sidang parlimen awal tahun ini, apabila beliau menyatakan kerajaan menyasarkan penggajian pekerja asing yang tidak melebihi 15 peratus daripada tenaga kerja negara, seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Berdasarkan statistik yang dikemukakan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Unit Perancangan Ekonomi untuk 2015, hanya 2.1 juta daripada kira-kira 6.7 juta pekerja asing berada di Malaysia mempunyai permit pekerjaan yang sah.

Ternyata, bilangan pekerja asing di Malaysia jauh tersasar daripada matlamat yang dicanang pihak kerajaan, apabila 32.2 peratus daripada tenaga kerja sedia ada terdiri daripada warga asing.

Kemelut rakyat tak selesai

Alasan kekurangan tenaga kerja yang sering dibangkitkan pihak kerajaan juga adalah tidak munasabah apabila isu peluang pekerjaan diperhalusi di peringkat nasional.

Perbandingan produktiviti antara pekerja tempatan dan asing turut meragukan, dan dijadikan mainan semata-mata untuk menjana pulangan tinggi tanpa mengambil kira taraf kehidupan dan usaha pekerja tempatan yang berterusan.

Daripada mempertimbangkan kebanjiran tenaga kerja asing sebagai alternatif membantu industri pembuatan, adalah lebih baik jika kerajaan dapat mengkaji semula sistem sedia ada.

Kelewatan dan kekurangan penekanan terhadap peningkatan teknologi menghalang penggajian berpatutan buat golongan pekerja, terutamanya rakyat Malaysia.

Demi menjamin kelangsungan hidup pekerja tempatan, beberapa langkah bersesuaian perlu dilaksanakan sepantas mungkin. Ia merangkumi persediaan skil dan pemantapan ilmu pekerja selaras dengan Revolusi Teknologi keempat, penyelarasan gaji yang setimpal dengan kadar kos hidup semasa, serta pemberian insentif atau pengurangan cukai terhadap industri dan syarikat yang mengutamakan pengambilan pekerja tempatan.

Walau apa jua yang terjadi, saya tetap dengan pendirian saya, bahawa nasib pekerja tempatan tidak boleh diperjudikan hanya untuk membantu industri-industri tertentu.

Sebaiknya pihak kerajaan bersifat realistik dan proaktif dalam memahami isu-isu kehidupan rakyat pada ketika ini.

Isu pekerjaan dan kos sara hidup perlu dipandang serius, dan ditangani dengan segera.

Bagi saya, amat menyedihkan jika kita hanya berbangga dengan kadar pertumbuhan ekonomi tahunan dan kemasukan pelaburan asing, tetapi tidak menyelesaikan kemelut harian rakyat.

Bangkitlah kerajaan Malaysia, demi kesejahteraan ekonomi rakyat.


NURUL IZZAH ANWAR ialah anggota parlimen Lembah Pantai dan naib presiden PKR.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS