Paling Popular
Terkini

Biro Undang-Undang (KANUN) Parti Amanah Negara kesal dengan kenyataan dibuat oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang berkeras enggan membenarkan himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi dianjurkan pada 14 Oktober di Padang Timur Petaling Jaya.

Antara alasan yang diberikan oleh beliau adalah isu-isu keselamatan, lalu-lintas dan juga polis menerima 27 laporan yang membantah penganjuran himpunan tersebut.

KANUN turut melahirkan rasa kecewa dengan "pendirian tidak berganjak" beliau pada ketika tuan punya tanah sendiri - iaitu Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ) - yang bukan saja tidak membantah malah telah memberikan permit dan kemudahan lain bagi menjayakan perhimpunan aman berkenaan.

KANUN seterusnya melihat, adalah menjadi sesuatu yang tidak masuk akal sekiranya pihak tuan tanah sendiri membenarkan ia berlangsung tetapi pihak luar seperti polis menghalang pesta demokrasi tersebut.

Berkenaan soal lalu-lintas, penganjur telah memberikan jaminan untuk mengawal selia laluan trafik di sekitar padang tersebut melalui agensi-agensi keselamatan mereka malah mereka turut akan dibantu oleh pihak keselamatan MBPJ.

Tentang isu-isu keselamatan pula KANUN menegaskan adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menjaga keselamatan peserta-peserta himpunan selaras dengan peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 8, Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) seperti yang diamalkan di negara-negara maju.

Bagi KANUN, pihak penganjur telah mematuhi syarat-syarat yang diperuntukkan oleh Akta 736 seperti Seksyen 9 (notis pemberitahuan) dan Sekyen 11 (kebenaran daripada pemunya tempat perhimpunan).

KANUN turut mengingatkan pihak keselamatan bahawa Akta Perhimpunan Aman 2012 juga tidak mensyaratkan keperluan mendapatkan kebenaran atau permit daripada pihak polis dan halangan kepada sesuatu perhimpunan aman jelas sekali bertentangan dengan pendirian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

KANUN juga bersama-sama dengan pasukan guaman Pakatan Harapan dan sukarelawan akan bersiap sedia dengan tawaran khidmat guaman sekiranya berlaku tangkapan sebelum, semasa dan selepas himpunan tersebut.


WAN ANWAR WAN IBRAHIM ialah timbalan pengerusi KANUN merangkap naib ketua Pemuda AMANAH Nasional.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS