Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Surat
SKMM perlu perjelas dakwaan pencurian data peribadi

Laporan Lowyat.net semalam yang mendakwa sebanyak 50 juta data peribadi syarikat telekomunikasi dan 17 juta data peribadi dari laman web syarikat carian pekerjaan dicuri di antara 2012-2015 dan sedang dijual pihak tidak bertanggungjawab cukup memeranjatkan dan merisaukan.

Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengekang akses umum kepada laporan berita dengan mengarahkan Lowyat.net menurunkan laporan tersebut juga tidak memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sepatutnya untuk memastikan hak pengguna khusus berkaitan data peribadi cukup selamat.

Malah mengekang akses kepada laporan tersebut mewujudkan persepsi ada pihak yang cuba menyembunyikan dakwaan berlakunya pencurian begitu banyak data peribadi rakyat Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, perlu memberikan penjelasan segera mengenai perkara ini kerana ia melibatkan keyakinan pengguna khususnya rakyat Malaysia terhadap tahap keselamatan pangkalan data syarikat-syarikat telekomunikasi serta syarikat-syarikat lain yang mengumpul maklumat tersebut.

Jika benar kejadian pencurian data peribadi ini telah berlaku, satu audit khas perlu dilaksana SKMM untuk mengenalpasti tahap keselamatan terutamanya kelemahan-kelemahan pangkalan data syarikat-syarikat yang memegang data peribadi pengguna.

Laporan ini kemudiannya perlu dibentang di Parlimen, dan pihak kementerian perlu memberikan cadangan untuk menambahbaik Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Saya juga menggesa agar pihak Lowyat.net segera membuat laporan polis agar pihak Polis Di-Raja Malaysia akan dapat menyiasat dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama, SKMM perlu mengesahkan apakah ada mana-mana syarikat yang telah gagal menjamin keselamatan data peribadi pengguna. SKMM juga perlu menjelaskan tindakan yang akan diambil terhadap syarikat-syarikat ini untuk memastikan bahawa kejadian yang tidak diingini ini tidak berulang.

Data peribadi amatlah bernilai dan kita tidak boleh berkompromi dalam memastikan ia disimpan dengan selamat.


FAHMI FADZIL adalah Pengarah Komunikasi PKR.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS