Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
‘Tapis soalan untuk pelihara sistem keadilan negara’

Saya merasa terpanggil untuk menyokong dan memahami tindakan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang mengarahkan Malaysiakini meninggalkan sebuah majlis anjuran Kementerian Belia dan Sukan, dua hari lalu.

Selain hak Khairy selaku menteri pusat dalam memilih media yang dipercayainya untuk menghadiri majlisnya, beliau juga bertanggungjawab menapis semua soalan media agar dapat memelihara sistem keadilan negara dengan bersikap adil kepada semua pihak.

Jika Khairy tidak bersikap sedemikian, selaku pemimpin negara, Khairy mungkin terjebak dalam kontroversi yang cuba dicetuskan oleh media tertentu yang akhirnya mungkin membawa keburukan kepada sesetengah pihak.

Malah, para pemimpin pembangkang termasuk Tun Dr Mahathir Mahathir juga dahulu sering mengelak soalan-soalan yang boleh membawa mudarat semasa menjadi Perdana Menteri, selain Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang terkenal dengan sikap bongkak untuk tidak langsung membenarkan media tertentu menghadiri sidang akhbarnya.

Saya juga menyokong tindakan Exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii yang mengkritik artikel bekas Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu, Amran Ahmad Nor yang mengkritik tindakan Khairy itu.

Sepatutnya saudara Amran, yang saya percaya lebih cenderung kepada parti pembangkang terutama DAP, agar bersikap lebih adil dengan tidak hanya mengkritik Khairy semata-mata, malah boleh juga menegur pemimpin pembangkang terutama DAP dan PKR yang juga sebelum ini bersikap berat sebelah terhadap media arus perdana.

Jangan hanya cuba mewujudkan persepsi bahawa Khairy sebagai cuak atau tidak mampu berdepan mana-mana media di negara ini kerana Khairy yang saya kenali, kental jiwanya dan tidak akan mengelak soalan yang lasak, bebas jika tidak kerana memikirkan kepentingan umum.


DATUK RIZAL MANSOR adalah pegawai khas kepada perdana menteri. Kenyataan ini dimuatkan kali pertama di Facebook beliau.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS