Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Baru-baru ini saya telah bertanya kepada Tan Sri Noh Omar selaku Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkenaan kedudukan terkini penyediaan 1.1 juta unit rumah mampu milik yang dijanjikan BN sewaktu pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

Kronologi "janji dicapati" ini bermula dengan 1 juta unit rumah mampu milik dan diikuti dengan pertambahan 100,000 unit lagi rumah mampu milik, menjadikan secara keseluruhan 1.1 juta unit rumah dijanjikan.

Seperti yang dimaklumi ramai, kekurangan rumah mampu milik di pasaran Malaysia menyebabkan implikasi buruk kepada rakyat. Antaranya kenaikan harga rumah yang mendadak, makin ramai tidak mampu memiliki rumah dan peningkatan hutang isi rumah bagi golongan pertengahan M40.

Ini semua bakal menjadikan generasi datang golongan yang homeless (tidak memiliki kediaman sendiri).

Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016, negara ini dianggarkan mengalami kekurangan kekurangan 960,000 unit rumah mampu sejak 2015 bagi yang diperlukan rakyat kumpulan pertengahan berdasarkan jumlah isi rumah.

Malah, Khazanah Research Institut mendedahkan nilai hartanah di Malaysia masih lagi dimonopoli oleh rumah tidak mampu milik berharga RM300,000 atau lebih tinggi.

Realitinya pendapatan purata 50 peratus rakyat Malaysia adalah RM2,000 dan ke bawah - menurut Jabatan Perangkaan Malaysia - manakala 75 peratus pasaran perumahan dimonopoli rumah tidak mampu milik berharga RM300,000 dan ke atas - menurut laporan tahunan suku kedua REHDA (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia).

Kegagalan yang sama

Ini jelas menunjukkan realiti perumahan negara bercanggah dengan realiti pendapatan rakyat Malaysia.

Apabila janji 1.1 juta yang ditaburkan gagal mencapai sasaran, ini mengusarkan lagi keadaan yang berlaku dalam kelembapan penawaran perumahan mampu milik.

Statistik terkini yang dibentangkan di parlimen menunjukkan perkembangan pembinaan rumah mampu milik di Malaysia sangat membimbangkan.

Setakat ini 241, 575 unit rumah mampu milik - atau 21.3 peratus daripada sasaran - telah dibina manakala 634, 235 unit rumah mampu milik (57 peratus) sedang dibina dan bakinya 22 peratus masih dalam perancangan.

Dengan hanya berbaki kurang 10 bulan, mustahil untuk kerajaan menepati janji 1.1 juta rumah mampu milik ini kerana hanya 21 peratus yang sudah tercapai.

Walaupun ada yang sedang dibangunkan, sasaran tersebut masih lagi jauh iatu sebanyak 22 peratus.

Prestasi PR1MA juga menunjukkan kegagalan yang sama.

PR1MA seharusnya membina 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2018 atau menjelang PRU ke-14.

Setakat ini, rumah mampu milik yang dibina adalah 9,791 unit rumah bersmaan 1.9 peratus sahaja daripada sasaran asal, dan masih berbaki 277, 693 unit.

Justeru, BN perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal mencapai janji yang telah dibuat sebelum ini.


KHALID SAMAD ialah anggota parlimen Shah Alam.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS