Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Saya ambil maklum isu rasuah berhubung kemasukan bot nelayan asing yang didakwa melibatkan pegawai atasan dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Perkara tersebut dilihat seperti benar apabila Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar menyebut bahawa beliau percaya masih ada dalang rasuah berkaitan kemasukan bot nelayan asing dan memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasatnya.

Penglibatan pegawai APMM dalam isu ini sebenarnya bukan persoalan baru, malah ada kes dilaporkan. Antaranya penangkapan seorang pegawai APMM yang menerima rasuah RM400 bagi membenarkan seorang lelaki menggunakan kor bergalah tanpa lesen mengutip kepah di kawasan perairan Kuala Bukit Tambun, sekitar April 2015.

Ia diikuti dengan penahanan tiga pegawai kanan APMM Kota Kinabalu yang berusia 39 hingga 53 tahun bagi membantu siasatan kes kemasukan bot nelayan asing di Sabah. Mereka disiasat mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Kemudian disusuli dengan kenyataan Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi yang menyatakan lebih ramai anggota APMM akan ditahan selepas ini.

Jangan cakap saja

Semua ini menunjukkan jenayah rasuah dalam agensi tersebut memang sudah semakin membarah. Namun persoalan utamanya ialah bagaimana isu ini boleh diselesaikan? Apakah kerajaan memandang remeh masalah ini sehingga sanggup membenarkan nelayan asing tanpa lesen terus mengaut hasil negara?

Perlu diingat, pencerobohan nelayan asing ini bukan saja mengaut hasil perikanan dan laut negara, tetapi turut merosakkan ekosistem yang boleh mengakibatkan sumber marin negara pupus.

Bukankah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri menyebutkan bahawa negara rugi antara RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun akibat rompakan nelayan asing?

Jadi berapa banyak lagi kerugian yang perlu ditanggung?

Sehubungan itu, saya mencadangkan kerajaan menambah aset penguatkuasaan yang lebih canggih seperti kapal induk supaya aktiviti pemantauan dan penangkapan nelayan asing dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Namun ingin saya ingatkan, setakat kapal canggih saja tidak ada gunanya jika penguatkuasaan secara berterusan tidak dibuat.

Saya juga mendesak kerajaan supaya memandang serius tindakan segelintir nelayan tempatan menyalahgunakan permit sama ada menyewanya dengan bayaran tertentu bagi membolehkan nelayan bot asing beroperasi atau yang menjadi dalang.

Mereka yang berkomplot juga perlu ditangkap. Tidak boleh ada kompromi dalam isu ini.

Jangan gadai nasib nelayan tempatan yang bergantung hidup dengan hasil laut.

Saya berharap APMM dan SPRM boleh berkerjasama mengatasi masalah ini daripada berlarutan. Selagi masalah kecurian hasil laut ini berlaku, nasib dan hak nelayan tempatan selamanya terpinggir.

Jangan hanya pandai bercakap, hak ke atas keluasan perairan negara wajib dipertahankan.


Laksamana Pertama (B) MOHAMAD IMRAN ABD HAMID ialah anggota parlimen Lumut merangkap
naib pengerusi PKR Perak.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS