Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bersempena bulan Rabiulawal 1439 Hijrah ini, mari kita bersama-sama mempertingkatkan kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan memperbanyakkan selawat ke atas baginda dan sahabat-sahabat baginda Nabi Muhammad SAW.

Tanggal 12 Rabiulawal saban tahun pastinya akan menerbitkan bibit-bibit rindu ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sambutan Maulidul Rasul tahun ini wajar dimaknai dalam konteks mencontohi kepimpinan Rasulullah SAW sebagai asas pewujudan sebuah masyarakat dan negara yang madani melalui kepimpinan strategik.

Umat Islam mesti menjadi teladan bagi kaum-kaum lain, sebagaimana Rasulullah SAW mencapai kedudukan dihormati kaumnya ketika baginda masih muda. Gelaran “al-Amin”, yang bermaksud dipercayai, adalah aset akhlak yang digunakan oleh baginda ketika melancarkan dakwahnya di Bukit Sofa, “Apakah pandangan kamu jika aku katakan bahawa ada tentera berkuda yang sedang bersiap siaga di sebalik wadi ini untuk menyerang kamu, adakah kamu mempercayai aku?”

Mereka menjawab: “Kami tak pernah melihat kamu berdusta.”

Soalnya, adakah umat Islam hari ini, atau sebahagian daripada mereka sama ada pemimpin atau pun rakyat biasa, mempunyai kualiti peribadi seperti itu di hadapan kaum bukan Islam?

Perjuangan dalam menegakkan keadilan di muka bumi ALLAH SWT ini penuh dengan cubaan dan rintangan namun apalah kiranya untuk dibandingkan dengan pengorbanan Rasulullah SAW. Sesungguhnya Rasulullah SAW mampu memberikan contoh teladan terbaik untuk kita mancakupi seluruh aspek kehidupan.

Dengan ketibaan bulan Rabiulawal ini semoga dapat memberikan kita kesedaran betapa untuk mengamalkan ajaran Islam sebenar dalam kehidupan sehari-hari yang merupakan tuntutan yang amat mendesak ke atas umat Islam. Sambutan Maulidur Rasul hanyalah sebagai peringatan dan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu setiap umat baginda, iaitu untuk meneruskan tugas Rasulullah SAW dengan memberikan petunjuk dan bimbingan kepada umat manusia ke arah jalan yang benar dan diredai ALLAH SWT.

Salam Maulidur Rasul 1439 Hijrah buat sekalian umat Islam Malaysia. Semoga Sambutan Maulidur Rasul tahun ini mengukuhkan kecintaan kita kepada baginda Nabi Muhammad SAW seterusnya mengembalikan kita kepada fitrah Islami yang menganjurkan keadilan, kesederhanaan dan kebaikan.


DATUK SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL ialah setiausaha agung PKR.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS