Paling Popular
Terkini

Terlebih dahulu saya mengalu-galukan penjelasan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terhadap persoalan ketidakwujudan butiran peruntukan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Kutar) yang saya timbulkan di Dewan Rakyat pada 28 November 2017.

KPT dalam kenyataannya pada 30 November 2017 menjelaskan bahawa RM30 juta akan diperuntukan kepada Kutar pada 2018 dan peruntukan tersebut termaktub di bawah OS42000 (Pemberian Dalam Negeri) Butiran 040000 (Pengurusan Sektor Pendidikan Tinggi).

Jika peruntukan RM30 juta untuk Kutar adalah seperti yang dijelaskan telah dimasukkan di dalam Butiran (040000 Pengurisan Sektor Pendidikan Tinggi), mengapakah menteri KPT tidak dapat menjawab persoalanan saya di dalam Dewan Rakyat pada 28 November 2017?

Selain itu, menteri juga tidak dapat menjawab persoalan ini pada 29 November ketika ditanya oleh wartawan di Bilik Media Parlimen.

Saya mendedahkan kekurangan ini pada 28 November tetapi KPT cuma mampu menjawab pada 30 November.

Ini menunjukkan bahawa kebimbangan saya adalah berasas.

Saya membangkitkan persoalan ini sebab sebelum ini peruntukan untuk Kutar memang termaktub dalam anggaran perbelanjaan KPT, kecuali untuk Bajet 2018.

Sebelum ini, bukan saja butiran dan jumlah peruntukan kepada Kutar termaktub di dalam bajet KPT tetapi juga dikategorikan sebagai Program 8 bagi KPT serta pengenalan ringkas dan objektif Kutar termaktub di dalam Anggaran Perbelanjaan KPT.

KPT perlu menjawab mengapakah Kutar tidak lagi dikategorikan sebagai "program" bagi kementerian tersebut.

Walaupun KPT sudah memberi penjelasan terhadap peruntukan kepada Kutar tetapi saya berpendapat wajar untuk kerajaan mengikut praktis yang lama untuk terus memasukkan butiran Kutar dan peruntukan tahunannya di dalam bajet KPT supaya ia lebih telus dan dapat dipantau oleh semua pihak.

Kepada MCA, menteri, timbalan menteri dan anggota parlimen, mereka sepatutnya lebih peka terhadap segala yang termaktub di dalam bajet KPT khususnya terhadap peruntukan kepada Kutar yang diasaskan mereka.

Jikalau saya tidak mededahkan kekurangan ini ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada 28 November lalu, tentulah mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Saya tidak mengharapkan mereka berterima kasih kepada saya atas pendedahan ini.

MCA sepatutnya berusaha gigih menuntut peruntukan yang lebih tinggi kepada Kutar kerana peruntukan yang disediakan oleh kerajaan pusat semakin berkurangan.

Jika dibandingkan dengan RM60 juta pada 2015, peruntukan 2018 sudah merosot sebanyak RM30 juta.

Akhirnya, saya membangkitkan perkara ini demi kepentingan semua kakitangan, pelajar-pelajar di Kutar dan segala kebimbangan dan persoalan saya terhadap peruntukan Kutar berdasarkan butiran dan angka-angka yang termaktub di dalam angaran perbelanjaan KPT 2018.

Jadi tidak timbul soal saya perlu mohon maaf atau tidak.


TEO KOK SEONG ialah anggota parlimen Rasah yang mewakili DAP.

Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS