Kerajaan mesti bantu pengusaha bas sekolah
Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) membantah hasrat Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia mahu menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan tahun hadapan.
Persatuan itu mendakwa, kenaikan tersebut didorong oleh kos penyelenggaraan yang meningkat sehingga 80 peratus di samping faktor harga minyak yang tidak stabil.
Kenaikan tersebut pasti disambut dengan penuh kekecewaan kerana ibu bapa kini dalam keadaan tertekan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tidak dapat dikawal.
Peningkatan perbelanjaan itu turut membabitkan hal-hal berkaitan persiapan persekolahan anak masing-masing.
Ketika Pemuda AMANAH memahami dilema yang dihadapi oleh ibu bapa, kami juga sangat menjiwai bebanan dihadapi para pengusaha bas.
Mereka sangat terbeban dengan kos semasa yang disebabkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kegagalan kerajaan mengurus ekonomi negara.
Namun, menaikkan kadar tambang bukanlah jawaban terbaik yang perlu dilakukan.
Dalam hal ini, kami berharap kerajaan melalui kementerian yang berkaitan mengambil tanggungjawab serta perhatian serius mencari mekanisme terbaik serta realisitik supaya permasalah ini diselesaikan.
Kerajaan perlu mencari alternatif bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung pengusaha bas di semua peringkat, termasuklah memberikan bantuan dan subsidi.
Antara lain, kerajaan wajar mengambil kira tuntutan subsidi minyak diesel diberikan kepada kira-kira 18,000 pengusaha bas di seluruh negara, sama seperti yang dinikmati nelayan.
Ini akan membantu pengusaha bas untuk menetapkan kadar tambang yang lebih rendah kepada murid-murid.
Pemuda AMANAH menggesa kerajaan mengadakan perbincangan tuntas dan serius dengan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia untuk mencapai keputusan yang terbaik dengan mengambil kira aspek bebanan semasa yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa.
HASNUL ZULKARNAIN ialah bendahari Pemuda AMANAH Nasional.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

