Siapa Cikgu Idzahril

   

Pada tanggal 2 Ogos 2017 merupakan tarikh penting buat seorang warga pendidik yang sangat berdedikasi. Beliau yang dimaksudkan adalah Cikgu Noor Idzahril bin Ahmad. Pada tarikh berkenaan, Cikgu Noor Idzahril dikatakan telah memukul seorang murid dan selepas itu kes telah dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Jawi, Pulau Pinang di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

KGMMB Cawangan Pulau Pinang telah bertindak mengatur satu pertemuan bersama Cikgu Noor Idzahril bagi mendapat maklumat kes tersebut yang telah dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Jawi, Pulau Pinang di bawah Akta 323 Kanun Keseksaan. Pertemuan tersebut telah memberi gambaran sebenar kejadian yang berlaku.

Pertemuan antara Jawatankuasa KGMMB Pulau Pinang dengan Cikgu Noor Idzahril telah ditetapkan di satu lokasi dengan niat jawatankuasa KGMMB Pulau Pinang dapat memudahkan pergerakan Cikgu Noor Idzahril untuk sampai menemui kami. Tepat masa yang dijanjikan, Cikgu Noor Idzahril sampai ke tempat tersebut dengan keadaan basah kuyup kerana beliau menunggang motosikal dalam keadaan hujan lebat ke tempat tersebut. Sebak kami melihat sikap sederhana dan tertib dalam perwatakannya selain tenang dalam berbicara. Dalam ketenangan tersebut hanya Allah SWT mengetahui betapa resah dan gelisah yang beliau alami.

Untuk rekod, Cikgu Noor Idzahril didakwa kali pertama pada 11 Disember 2017. Mengimbas perbicaraan kali pertama tersebut, Cikgu Noor Idzahril telah diarahkan oleh hakim supaya diikat jamin sebanyak RM 4,000.00. Beliau telah dimasukkan ke dalam lokap mahkamah sebelum dijamin oleh isterinya. Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila beliau ditempatkan ke dalam lokap yang sama dengan penjenayah atas pelbagai salah laku antaranya kes seperti berlawan dengan polis, kes memiliki dadah serta kes peminum air ketum.

Berita ini amat menyedihkan warga pendidik di seluruh negara kerana pada sesi yang sama terdapat beberapa kes yang turut dibacakan pertuduhan serta nilai ikat jamin masing-masing. Mengambil contoh beberapa kes yang dibicarakan pada waktu tersebut antaranya kes pukul dan kes dadah dibenarkan tertuduh diikat jamin di bawah RM3,000.00 tetapi agak menyedihkan bagi seorang guru yang mendidik dan berkorban masa serta tenaga apabila berhadapan dengan tuduhan sedemikian, Cikgu Noor Idzahril dibenarkan ikat jaminan sebanyak RM4,000.00. Kami sekali lagi sebak dengan keadaan ini perlu diharungi oleh insan bergelar pendidik.

Pada tarikh 26 Disember 2017, beliau sekali lagi didakwa dan dihadapkan ke mahkamah yang sama. Namun sebutan kes itu ditangguh lagi kerana didapati tidak ada laporan perubatan. Oleh itu, tarikh baharu yang diberikan ialah pada 9 Januari 2018.

Berkongsi jiwa yang sama sebagai pendidik, kami yakin bahawa tidak ada seorang guru yang ingin mencederakan anak muridnya. Semua ilmu dan teguran adalah dengan niat yang ikhlas bagi mendidik muridnya menjadi anak didik yang berdisiplin dan berjaya di masa hadapan. Kami amat bersimpati kepada Cikgu Noor Idzahril dan berharapkan masih ada peluang dan ruang untuk diselesaikan secara rundingan. Peristiwa seperti Cikgu Idzahril boleh berlaku kepada sesiapa saja yang bertugas sebagai seorang guru di sekolah. Guru sewajarnya didekati oleh ibu bapa dan masyarakat untuk sama-sama membantu melahirkan murid yang cemerlang dalam semua aspek merangkumi jasmani, emosi, rohani dan juga intelek.

Siapa Cikgu Noor Idzahril?

Cikgu Noor Idzahril adalah seorang ahli KGMMB. Beliau berumur 52 tahun dan telah berkhidmat dalam bidang perguruan selama 29 tahun. Beliau mempunyai seorang isteri dan 3 orang cahaya mata.

Dalam bidang tugas hakiki, beliau adalah seorang guru mata pelajaran bahasa Inggeris yang berdedikasi dan bertanggungjawab terhadap pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Murid-murid amat meminati dan selesa dengan cara pengajarannya menggunakan pedagogi yang baik bagi mata pelajaran yang diajar selain beliau tidak pernah bersikap pilih kasih apatah lagi bersikap diskriminasi terhadap mana-mana murid dari segi kaum mahupun agama.

Kecemerlangan Cikgu Noor Idzahril dibuktikan melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang diperoleh pada Tahun 2008 dan Tahun 2016.

Sepanjang 29 tahun perkhidmatan, Cikgu Noor Idzahril tidak pernah dikenakan sebarang tindakan tatatertib.

Selain itu juga, Cikgu Noor Idzahril merupakan seorang guru pemeriksa kertas Bahasa Inggeris dari tahun 2005 hingga tahun 2017.

Dalam bidang disiplin murid, Cikgu Noor Idzahril pernah menjawat jawatan guru disiplin sekolah menengah dan sekolah rendah selama 15 tahun.

Cikgu Noor Idzahril turut memberi sumbangan dalam bidang pengawasan peperiksaan. Beliau adalah merupakan ketua pengawas peperiksaan UPSR dari tahun 2012 hingga 2017, ketua pengawas STPM tahun 2016, timbalan ketua pengawas STPM selama dua tahun dan juga pengawas SPM selama empat tahun.

Sumbangan lain Cikgu Noor Idzahril adalah sebagai pemeriksa kertas Bahasa Melayu PMR selama dua tahun serta penguji ujian lisan SPM juga selama dua tahun.

Dalam bidang kokurikulum pula, Cikgu Noor Idzahril merupakan pengadil pertandingan sepak takraw MSSPP selama tujuh tahun, AJK teknik memanah MSSPP selama 10 tahun, AJK perahu layar selama empat tahun, petugas olahraga MSSPP selama tiga tahun dan AJK pertandingan memanah dalam kejohanan MSSPP, MSSM, SUKPEN dan SUKMA.

Beliau juga aktif sebagai pemain bola tampar PESSCA Daerah selama satu tahun.

Selain itu, Cikgu Noor Idzahril juga pernah menjawat jawatan sebagai warden asrama selama tiga tahun.

Cikgu Noor Idzahril juga memegang jawatan AJK bagi unit LDP di PKG Sungai Bakap dan PKG Nibong Tebal.

Banyak lagi sumbangan Cikgu Noor Idzahril yang tidak disenaraikan sepanjang 29 tahun perkhidmatan beliau. Hanya kerana satu tuduhan ini mungkin akan menyebabkan beliau dikenakan tindakan berhenti kerja, tidak menerima sebarang imbuhan dan pencen malahan hilang segala-galanya.

Pendirian KGMMB

Pihak KGMMB akan membiayai kos guaman Cikgu Noor Idzahril bagi berhadapan dengan tuduhan di bawah Akta 323 Kanun Keseksaan di Mahkamah Jawi pada Hari Selasa, 9 Januari 2018.

KGMMB menyeru semua warga pendidik, PIBG, NGO dan orang awam mendoakan Cikgu Noor Idzahril dibebaskan daripada tuduhan tersebut dan bersama-sama hadir ke Mahkamah Majistret Jawi 9 Januari 2018 sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada Cikgu Noor Idzahril .


DATUK MOHAMED SABRI MOHD ARSAD adalah presiden Kesatuan Guru -Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.