Penyelaras Pemuda PKR (AMK) Kelantan hari ini dukacita terhadap beberapa rampasan dan perbicaraan yang berlaku di luar negara membabitkan skandal 1MDB kerana ia jelas mencalar imej negara di mata dunia.

Rampasan kapal layar mewah Equanimity oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali dan tuntutan RM400 juta daripada Switzerland serta beberapa siri perbicaraan lain terang-terangan menunjukkan skandal 1MDB ini adalah yang terburuk dalam sejarah.

Namun, tiada tindakan atau pun kesungguhan politik (political will) daripada mana-mana pihak dapat dilihat, sama ada daripada Jabatan Peguam Negara atau Datuk Serni Najib Razak sendiri.

Sikap membisu seperti inilah yang menjejaskan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjadi yang paling rendah sejak 1994 iaitu di tempat ke-62 pada 2017 berbanding 55 pada 2016.

Jelas skandal 1MDB yang tidak berkesudahan selain hukuman terhadap Rafizi Ramli kerana membongkar skandal itu merupakan faktor yang membawa kepada terjejasnya kedudukan Malaysia dalam CPI.

Sudah lama kes ini berlarutan dan setiap tahun ada saja penemuan dan pendedahan baru dibuat berkaitan 1MDB - satu syarikat yang sepatutnya berfungsi untuk menjana pendapatan negara melalui pelaburan dan projek-projek yang memberi pulangan kepada ekonomi Malaysia.

Namun, apa yang ada hanyalah penafian semata-mata tanpa penjelasan terperinci daripada ahli politik Umno atau BN.

Datuk Seri Salleh Said Keruak secara terang-terangan menafikan kapal Equanimity adalah milik Jho Low. Justeru ada beberapa persoalan yang perlu dijawab beliau:

  • Bagaimana beliau begitu pasti menyatakan kapal Equanimity itu bukan milik Jho Low? Adakah Salleh lebih mengenali pemilik sebenar kapal mewah itu?
  • Apakah respon Salleh terhadap kekesalan Jho Low terhadap tindakan DOJ yang melakukan rampasan terhadap aset-aset beliau sejurus rampasan kapal tersebut dilakukan?

Persoalan sebeginilah yang perlu dijawab dengan segera tanpa berselindung kerana ia melibatkan kepentingan dan maruah negara dalam isu rasuah dan urus tadbir.

Isu tuntutan CHF95 juta (RM400 juta) oleh kerajaan Switzerland juga tidak mendapat tempat dan dinafikan oleh Umno-BN.

Malah isu ini juga akan dibahaskan dan diundi di dewan rendah perhimpunan Switzerland pada 15 Mac nanti. Begitulah betapa teruknya keadaan skandal 1MDB sehingga menjadi usul perbahasan di Switzerland tetapi di Malaysia.

Larangan membahaskan isu itu menunjukkan memang benar ada salah laku yang cuba dinafikan secara tegas oleh pihak sana. Jika benar isu tuntutan RM400 juta ini tidak ada kaitan langsung dengan 1MDB, sekurang-kurangnya Peguam Negara atau BN perlu mendapatkan penjelasan bagi membersihkan nama Malaysia.

Penyelaras AMK Kelantan hari ini menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk berfikir dengan rasional bahawa sudah tiba masanya perkara ini diatasi dengan segera.

Ia hanya boleh berlaku dengan perubahan secara total.

Kesungguhan Pakatan Harapan jelas dizahirkan apabila dalam tempoh 100 hari suruhanjaya siasatan diraja (RCI) akan ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1MDB bagi memastikan Malaysia tidak lagi terpalit dengan label rasuah dan kleptokrasi oleh negara luar.


HAISSAZC SHUQKIN HISHAM ialah ketua penyelaras AMK Cabang Kota Bharu, Kelantan.

Surat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malayisakini.