BN Selangor perlu hentikan lakonan politik
BN Selangor dilihat gagal memahami realiti politik dan kehendak nyata rakyat negeri.
Segala janji bulan dan bintang yang ditabur kepada rakyat hanyalah bersifat retorik dan langsung tiada nilai kecuali untuk memancing undi semata-mata.
Hakikatnya selama lebih 50 tahun BN memerintah Selangor, mereka gagal membawa sebarang manfaat kepada rakyat.
Sedangkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya membuktikan bahawa dengan konsep peduli rakyat, pelbagai bentuk inisiatif yang menguntungkan memberi manfaat besar buat rakyat di Selangor.
Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus kelihatan terpaksa menagih undi dengan berjanji retorik memberikan rumah percuma dan lesen memandu percuma.
Hakikatnya semasa zaman pemerintahan BN di Selangor, setitis air pun gagal diberikan percuma.
Kerajaan HARAPAN Selangor di bawah kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali dilihat begitu giat melaksanakan agenda rakyat.
Pelbagai bentuk inisiatif dari peringkat bayi sehingga ke liang lahad, semuanya tidak terlepas daripada menerima kebaikan yang dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pelbagai manfaat.
BN Selangor dan Jamal dinasihatkan berhenti berlakon di pentas teater politik sebaliknya kembali berpijak di bumi nyata dengan mengakui mereka gagal mentadbir Selangor ketika diberi peluang.
Justeru wajarlah pengundi di Selangor terus menolak BN dan mengekalkan status parti itu sebagai pembangkang sepanjang zaman.
SYED BADLI SHAH SYED OSMAN ialah setiausaha Pemuda PKR (AMK) Selangor.
Surat ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

