Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang menjadi wadah gerakan pelajar seluruh negara, sepatutnya kekal sebagai pertubuhan yang bebas dari sebarang unsur politik. Pemimpin belia, badan dakwah serta badan bukan kerajaan (NGO) lain, tidak seharusnya menjadikan pertubuhan mereka tempat mencari dan beradu pengaruh politik.

GPMS perlu kembali kepada asasnya, sebagai sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak-hak pelajar dan belia. Ahli GPMS mesti memastikan yang pertubuhan mereka tidak dijadikan kuda tunggangan oleh tokoh atau ahli politik tertentu.

Bagi mengelakkan GPMS menjadi "sarang" percaturan politik, para ahlinya perlu memilih pemimpin yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik. Kita sudah saksikan banyak pertubuhan yang condong kepada faham politik tertentu, terpaksa berdepan dengan pelbagai krisis dalaman, perebutan kuasa sehingga menjejaskan tumpuan kepada program dan kebajikan ahli.

Ahli-ahli GPMS perlu bersikap matang, terbuka dan bijaksana dalam menentukan haluan pertubuhan tersebut yang selama ini sudah banyak tersasar. Sudah sampai masa GPMS berdikari, membebaskan dirinya dari bayang-bayang mana-mana parti politik.

Hanya dengan cara itu sahaja kegemilangan dan kredibiliti GPMS dapat dikembalikan.