Universiti Terbuka hilang permata hati
Mewakili mahasiswa Malaysia, penulis merakam jutaan takziah di atas pemergian Datin Seri Endon Mahmood, isteri Perdana Menteri. Pemergian beliau turut dirasai oleh warga Universiti Terbuka Malaysia (OUM) kerana beliau adalah Canselornya.
Kedudukannya sebagai Canselor pertama universiti berkenaan jarang diulas, seolah-olah tidak disedari umum. Beliau rupa-rupanya tidak kekal lama menjawat amanah itu. Tidak sampai setahun. Dilantik tanggal 16 Disember tahun lalu dan meninggalkan kita pada 20 Oktober tahun ini.
Beliau lebih dikenali dengan aktiviti kebajikan dan kemanusiaan. Antaranya The Bosnia Relief Fund, The North Korean Children's Fund dan Kosovo Welfare Fund. Di samping itu, beliau adalah Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Pergerakan Pandu Puteri Islam dan menjadi penaung Pertubuhan Penulis Wanita Malaysia.
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Dengan sumbangan besarnya kepada kegiatan kemanusiaan dan kebajikan, maka pihak Universiti Teknologi Malaysia berkenan memberi anugerah Doktor Kemanusiaan kepada beliau pada 14 Ogos tahun lalu sebelum beliau menjadi Canselor OUM.
Selain itu, beliau juga menerima beberapa anugerah pingat jasa kebaktian melalui aktiviti sosial. Pada 2002, beliau menerima anugerah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (Pahang), Seri Paduka Mahkota Selangor (Selangor).
Allahyarham juga memperolehi Anugerah Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan tahun lalu dan tahun ini kerajaan Negeri Sembilan berkenan memberi anugerah Darjah Seri Paduka Tuanku Jaafar.
Beliau mendapat Pingat Tun Fatimah tahun lalu bagi sumbangannya kepada pembangunan masyarakat.
Seperti yang dilaporkan, beliau menyimpan koleksi pakaian warisan yang cantik dan barangan ukiran peribadi, sesuai dengan sufat kewanitaannya. Kecintaan kepada pakaian tradisional terakam melalui keterlibatannya dalam pembukuan 'The Nyonya Kebaya' pada tahun 2002.
Akhirnya, buku itu sempat beliau lancarkan pada Mac lalu. Rasanya-rasanya tidak keterlaluan jika kita andaikan beliau mungkin dapat menjadi pemikir budaya seperti Azah Aziz jika hayatnya lebih lama.
Sehingga dengan itu kami mendoakan Perdana Menteri sekeluarga dapat mengharungi kehidupan penuh ketenangan.
Sesungguhnya, kematian adalah perjalanan menemui Kekasih Abadi. Semoga roh Allahyarham Endon ditempatkan bersama orang yang solehah. Al-Fatihah.

