Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Presiden dan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengucapkan tahniah kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad di atas pelantikannya sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-7 malam tadi.

PERKASA juga mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan kerana memenangi PRU ke-14 dan mengalahkan BN yang telah menerajui kerajaan Malaysia sejak Merdeka lagi.

PERKASA telah menyatakan bersifat berkecuali menjelang PRU14 baru-baru ini dan akan terus menjadi NGO berkecuali dengan tidak lari dari perjuangan mempertahan dan memperkasakan kepentingan Islam dan Melayu serta kaum Bumiputera bawah kerajaan Malaysia yang baharu.

Harapan PERKASA terhadap kerajaan baru ini ialah antaranya mengembalikan kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera yang telah banyak hilang semasa bawah kerajaan BN sejak 15 tahun ini terutamanya tanah rizab Melayu dan Biasiswa.

PERKASA percaya kerajaan baru bawah kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad akan lebih fokus terhadap agenda Bumiputera kerana kaum ini masih jauh di belakang dalam sektor ekonomi.

Isu berkaitan harga barang yang tinggi perlu diberi perhatian utama oleh kerajaan Pakatan Harapan. Tempoh untuk menghapuskan GST hendaklah disegerakan kerana rakyat sangat dihimpit dengan kos hidup tinggi.

Selain itu PERKASA juga berharap penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa asing lain perlu dikurangkan dan wajib diletakkan di bawah Bahasa Malaysia pada papan-papan tanda di luar bangunan termasuk di tapak-tapak projek swasta dan syarikat pelabur asing. Semuanya perlu utamakan Bahasa Malaysia yang merupakan Bahasa Kebangsaan bahasa rasmi negara.

PERKASA juga lebih awal ingin menyatakan menolak terhadap segala usaha untuk menghapuskan Akta Hasutan seperti mana yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan. PERKASA melihat dengan penghapusan Akta Hasutan boleh menyebabkan persengketaan antara kaum boleh tercetus bila-bila masa jika perkara-perkara sensitif diusik.

PERKASA juga tidak akan kompromi dengan sebarang cubaan membenarkan LGBT bebas diamalkan dalam negara ini. Begitu juga dengan usaha-usaha untuk menutup agensi kerajaan seperti JAKIM akan PERKASA tentang sama sekali.

Selain itu Perkasa harap janji-janji untuk bertindak terhadap beberapa perkara dalam 100 hari HARAPAN memerintah dapat ditunaikan dahulu. Dan seterusnya menunaikan apa yang telah termaktub dalam manifesto PAKATAN HARAPAN kecuali hapuskan Akta Hasutan.

Akhir sekali ingin ditegaskan bahawa PERKASA akan bersuara dengan tegas jika hal kepentingan Islam dan Melayu serta kaum Bumiputera dipertikai atau dihina oleh mana-mana pihak. PERKASA juga tidak akan teragak-agak menyatakan sokongan dan pujian jika tindakan-tindakan yang baik untuk agama, bangsa dan negara.


SYED HASAAN SYED ALI ialah setiausaha agung PERKASA.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS