Surat Malaysiakini

Rayuan agar PAS tak bentuk k’jaan negeri bersama BN

Mohd Masri Mohd Ramli  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Saya, Mohd Masri bin Mohd Ramli, pengundi PAS untuk DUN Gadek dan Parlimen Alor Gajah.

Saya merayu dengan sepenuh hati agar PAS tidak bergabung dengan BN untuk membentuk kerajaan negeri di Perak dan Kedah.

Pertama: PAS akan dianggap pengkhianat rakyat

Seandainya PAS bergabung dengan BN, PAS akan dikenang sebagai sebuah parti yang telah mengkhianati majoriti rakyat yang mahukan Pakatan Harapan memerintah negeri mereka.

Bagi bukan Muslim pula, ia menimbulkan persepsi bahawa umat Islam adalah pengkhianat rakyat. PAS telah tewas dengan teruk dalam PRU14 ini, janganlah menambah kekecewaan rakyat dan ketidakpercayaan mereka kepada PAS.

Ini masa untuk PAS melembutkan hati rakyat kepada PAS, dan bukannya menyakitkan hati rakyat lagi.

Kedua: PAS benar-benar melakukan UG (kerajaan perpaduan) dengan Umno

Jika PAS bergabung dengan BN di Perak dan Kedah, ini akan menimbulkan persepsi bahawa fitnah-fitnah bahawa PAS bekerjasama dengan BN dalam PRU14 adalah benar. Ini akan menyebabkan PAS dikenang sebagai parti penipu kerana PAS sentiasa menafikan hal ini.

Rakyat akan mengenang PAS sebagai penipu walau mungkin PAS tidak menipu dalam isu kerjasama dengan Umno dalam PRU14. Lebih perit, ini menimbulkan persepsi buruk bukan Muslim kepada Islam kerana PAS dan Islam tidak boleh dipisahkan dalam konteks Malaysia.

Ketiga: PAS membantu parti banyak rasuah

Dalam kempen PRU14 PAS sering berkempen sebagai parti zero rasuah dan BN pula paling banyak kes rasuah.

Jika PAS bergabung dengan BN untuk membentuk kerajaan negeri, ini menimbulkan persoalan besar kerana PAS bekerjasama dengan parti raja rasuah. Jumlah kerusi BN di negeri Perak lebih banyak daripada PAS.

Bagaimana PAS sanggup bekerjasam dengan parti banyak rasuah, dan bagaimana PAS mahu mengawal mereka sedangkan PAS bukan dominan dalam kerajaan campuran ini di Perak?

Apa yang perlu PAS lakukan?

Menjadi hero rakyat

PAS boleh memilih untuk bekerjasama dengan HARAPAN untuk membentuk kerajaan campuran di kedua-dua negeri. Akan tetapi hal ini mungkin sukar dilakukan kerana PAS sudah menganggap HARAPAN musuh ketat dalam PRU14.

Oleh itu, PAS boleh memilih menjadi hero dengan 'mengorbankan' beberapa ADUN dan memberi keizinan kepada mereka untuk bergabung dengan HARAPAN untuk membentuk majoriti mudah.

Di Kedah dan Perak, PAS hanya perlu 'mengorbankan' seorang ADUN agar kerajaan pilihan rakyat dapat terbentuk.

PAS akan dikenang sebagai hero rakyat kerana berjaya menyelamatkan dua negeri daripada tergantung tanpa kerajaan. Begitu juga PAS akan dikenang sebagai hero rakyat kerana berkorban agar kerajaan pilihan majoriti rakyat terbentuk. Ini merupakan peluang PAS memenangi kembali hati rakyat.

Jika PAS enggan jua, PAS boleh biarkan sahaja keadaan ini tergantung, dan biarkan PH memujuk ADUN BN bergabung dengan mereka. PAS tidak perlu pening untuk memerintah banyak negeri, dan boleh fokus membangunkan Terengganu dan Kelantan.

Saya tidak suka pilihan terakhir ini akan tetapi itu lebih baik daripada PAS bekerjasama dengan BN yang akan meranapkan kepercayaan rakyat kepada PAS.

Saya merayu sepenuh hati kepada PAS dalam hal ini. Saya menyokong PAS dalam keadaan PAS nazak di kampung saya. Saya membantu jentera PAS di kampung di saat akhir tatkala melihat PAS lumpuh di kampung saya.

Saya mengundi PAS dalam keadaan saya tahu PAS akan kalah teruk. Hati saya pedih ketika sesi pengiraan undi. PAS hanya mendapat 20 undi di Parlimen, dan 28 undi di DUN daripada keseluruhan undi sebanyak 257 di saluran 1 yang saya jaga.

Saya menangis dalam kereta ketika pulang ke rumah selepas selesai sesi kiraan undi. Saya sedih PAS ditolak sebegitu di kampung saya sendiri. Saya berharap PAS menerima rayuan saya. Saya tak mahu PAS meranapkan kepercayaan rakyat dan menyebabkan PAS terus tidak wujud di kampung saya.


Mohd Masri Mohd Ramli adalah Pengundi PAS Dun Gadek dan Parlimen Alor Gajah.

Surat ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.