Paling Popular
Terkini

Persatuan Karyawan Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan yang telah menjadi kerajaan persekutuan dan bakal menggembeling negara dengan lebih efisien serta merealisasikan pelbagai harapan rakyat.

Karyawan yang kini dianggotai 6000 orang aktivis seni dari pelbagai disiplin amat mengharapkan agar kerajaan yang baru dibentuk ini akan menyokong penuh perkembangan seni budaya dan industri kreatif tanahair.

“Seni adalah ruang rehlah terbaik untuk rakyat dan sekiranya ia dipicu dengan betul pastinya akan turut menyumbang dengan pendapatan yang lebih besar kepada pembangunan ekonomi negara”, ujar Presiden Karyawan, Dato Freddie Fernandez.

Sebagaimana majoriti rakyat yang lain, warga seni kini juga tidak sabar menanti era baru Malaysia yang kami jangkakan akan menjadi lebih produktif berdasarkan kombinasi pimpinan muda dan berpengalaman.

Sokong aspirasi kerajaan

Karyawan juga pastinya akan menyokong segala aspirasi kerajaan yang memberi kebaikan untuk rakyat, serta meletakkan harapan yang amat tinggi agar pelbagai perkara yang telah menjadi polimik di kalangan masyarakat seni sebelum ini , seperti masalah royalti, peluang pekerjaan serta program latihan dan akreditasi akan diselesaikan dengan sebaiknya.

Kami amat percaya kepada nilai ketelusan yang tinggi yang dibawa oleh kerajaan baru ini akan membuka jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang telah berlarutan sekian lama ini.

Sekali lagi kami ingin mengucapkan tahniah dan mendoakan agar barisan pimpinan Pakatan Harapan akan merealisasikan segala hasrat penggiat seni dengan lancar serta sentiasa bersedia merangka beberapa rancangan untuk membangunkan industri seni dan kreatif tanahair.

 



DATUK FREDDIE FERNANDEZ ialah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS