Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Assalamualaikum.

Terlebih dahulu izinkan saya merafakkan kesyukuran kehadrat Allah SWT atas segala nikmat, hidayah dan hikmah-Nya ke atas kita semua pada Ramadan ini.

Jelas ini adalah Ramadan yang paling mencabar kepada kita setelah berhadapan dengan keputusan pilihan raya paling menyedihkan buat anggota UMNO yang telah menerajui kepimpinan kerajaan selama lebih 60 tahun.

Sejujurnya ketentuan Allah ini adalah berlandaskan perjalanan kita sebagai sebuah parti selama ini.

Pemimpin datang dan pergi namun Umno wajib kekal untuk meneruskan perjuangan kita menegakkan Islam, hak orang Melayu serta bumiputera, dan kedaulatan tanah air kita.

Dalam tetapnya keimanan kita kepada Allah yang tidak berganjak, ketaatan kita kepada parti kesayangan ini pula sedang diuji pada tahap yang teramat getir.

Pada awal pascapilihan raya saja tiga wakli rakyat Umno yang telah diberi kepercayaan rakyat - khususnya orang Melayu - melompat parti kononnya untuk menyelamatkan kuasa Melayu dalam kerajaan Johor sedangkan selama ini diuar-uarkan tiada istilah orang Meleyu, Cina atau India melainkan Bangsa Johor.

Pada hari ini ramai daripada anggota Umno masih dalam keadaan tidak percaya akan keputusan PRU ke-14 dan ada juga yang hilang arah tuju sambil menunggu isyarat penting daripada pemangku pucuk pimpinan sedia ada bagi menyuntik semangat perjuangan yang mungkin luntur.

Selesa cawangan kecil

Namun yang datang bukanlah kata-kata semangat, sebaliknya arahan untuk memuhasabahkan diri seolah-olah penyebab utama kekalahan kita ialah anggota bawahan Umno, bukan pemimpin atasan yang telah mencorak strategi kaedah kempen pilihan raya.

Jesteru saya menyaksikan saban hari kebelakangan ini, ramai anggota Umno di kalangan rakan dan taulan seperjuangan selama 30 tahun mula keluar parti dan bercadang untuk berhijrah ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang baru saja menang di bawah panji-panji PKR pada PRU lepas.

Ramai kalangan mereka adalah ketua-ketua cawangan dan ramai juga yang tidak mahu mengadakan mesyuarat kerana hilang semangat.

Ini tidak dibantu pula dengan keputusan sesetengah ketua bahagian Umno yang lebih selesa mempunyai jumlah cawangan lebih kecil memandangkan kita bukan lagi parti yang memerintah.

Kepada anggota Umno yang seperjuangan, keramatnya parti ini adalah kerana kehadiran dan semangat kita untuk terus berjuang dengan ikhlas, tanpa putus asa kerana Allah.

Kini Umno satu-satunya parti individu (bukan gabungan) yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak dalam Dewan Rakyat. Ertinya kita masih lagi disokong dan diberi kepercayaan untuk memimpin oleh sebahagian besar bangsa kita di Semenanjung Tanah Melayu dan Sabah.

Selebihnya dibahagi kepada dua parti Melayu lain yang tidak lama lagi pengundinya akan sedar, ketika hak keistimewaan tersurat mahupun tersirat bangsa Melayu terhakis dalam penggal yang mendatang ini.

Dari itu saya berlutut merayu dan memohon kepada semua anggota Umno supaya perkasakanlah semangat pemberontak Melayu semula jadi yang mengalir dalam tubuh kita untuk kekal meneruskan perjuangan dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ini, yang telah memerdekakan generasi kita daripada kerajaan orang putih dahulu.

Jangan ikut telunjuk

Hidupkanlah cawangan-cawangan Umno kita dengan mengadakan mesyuarat dan teruslah berjuang dalam parti yang sama tanpa memilih parti alternatif.

Sesungguhnya Allah akan membalas jasa mereka yang beriman kepada-Nya dan taat kepada kepercayaan kita.

Bagi yang berhijrah ke parti lain akan dianaktirikan oleh mereka dan mereka akan dianggap sebagai orang yang tidak boleh dipercayai kerana mengkhianati parti asal untuk bersama pihak yang menang.

Kalaupun kita kecewa dengan pucuk pimpinan yang telah membawa kita hampir ke tahap kehancuran, inilah peluang untuk kita menentukan hala tuju dan pucuk pimpinan parti kita yang baru, pada pemilihan yang akan datang.

Marilah kita kekal bersama dalam apa keadaan sekalipun, susah mahupun senang kerana parti kita sangat memerlukan kita pada waktu ini.

Ambil balik kuasa parti kita daripada tangan pemimpin-pemimpin kita yang sudah terlalu lama duduk di tampuk kuasa Umno.

Janganlah diikut telunjuk mereka akan siapa yang harus di angkat dalam berpasukan. Tepuk dada dan tentukan kuasa yang di tangan anda, sebagaimana rakyat telah menentukan nasib mereka pada PRU ke-14 dengan takdir Allah.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" (al-Ra’d : 11).

Selamatkanlah parti kita bersama. Kepada tuan-tuan dan puan-puan kami sangat berharap, dan kepada Allah jua kami berserah.


DATUK TENGKU PUTRA HARON AMINURRASHID JUMAT ialah bekas anggota dewan undangan negeri Johor bagi kawasan Kempas.

Surat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS