Paling Popular
Terkini
story images
story images

Berdasarkan kenyataan Kementerian Luar Singapura, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memaklumkan kepada mereka bahawa prosiding tidak diteruskan dalam dua kes dikemukakan Malaysia terhadap republik itu berhubung penghakiman asal pada 2008 membabitkan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan.

Ketika itu mahkamah telah memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh menjadi milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia, manakala Tubir Selatan akan ditentukan berdasarkan persetujuan kedua-dua negara.

Malaysia telah memaklumkan kepada ICJ pada 28 Mei 2018 bahawa prosiding itu tidak diteruskan.

Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan tersebut demi maruah dan kedaulatan Malaysia.

Walaupun saiz Pulau Batu Puteh ini hanya sebesar padang bola sepak, tetapi lokasinya yang strategik merupakan laluan utama antara timur dan barat melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Apabila Malaysia menggugurkan prosiding ini, bermakna Singapura mempunyai kedaulatan di kawasan jalur laut yang sangat penting.

Ini juga bermakna saiz pulau sekecil padang bola ini, tidak mustahil akan berkembang menjadi sebesar 100 padang bola melalui penambakan laut.

Jarak Pulau Batu Buteh ini adalah 7.7 batu nautika dari Malaysia, manakala dari Singapura sejauh 25 batu nautika. Dari segi kedudukan lokasi pula, Pulau Batu Puteh terletak berdekatan dengan Malaysia, Batuan Tengah terletak di antara Pulau Batu Puteh dan Tubir Selatan.

Adalah sangat pelik bahawa Batuan Tengah milik Malaysia, tetapi Pulau Batu Puteh milik Singapura.

Sebenarnya, mengikut hak laut wilayah (territotial sea), negara perairan panta berhak ke atas pulau dalam jarak 12 batu nautika dari pantai berdekatan.

Pulau Batu Puteh yang tidak didiami manusia tidak boleh menuntut hak Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) untuk aktiviti ekonomi dan pelantar benua (continental shelf) untuk aktiviti perlombongan minyak dan gas.

Sekali lagi, Dewan Pemuda IKATAN menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan prosiding di ICJ, dan tidak mempolitikkan isu ini biarpun peguam negara dipilih daripada kerajaan BN yang dahulu.


SHAHIR ADNAN ialah ketua pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia, merangkap timbalan ketua Pemuda Gagasan Sejahtera.

Kenyataan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS