Paling Popular
Terkini

Berhubung fitnah dan tohmahan oleh individu tertentu dalam Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Utusan Melayu terhadap Jabatan Pengarang Utusan seperti disiarkan oleh Malaysiakini pada 30 Mei 2018 adalah dinafikan sekeras-kerasnya.

Dakwaan NUJ tersebut merupakan tuduhan serius, tidak benar dan berniat jahat terhadap Utusan Melayu terutamanya Jabatan Pengarang.

Dakwaan itu juga memudarat dan menjejaskan reputasi serta standard tadbir urus korporat dan boleh mendatangkan kesan negatif terhadap urusniaga syarikat.

Tindakan individu dalam kesatuan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi serta menjadi alat kepada anasir luar dan pihak tertentu adalah bercanggah dengan kepentingan syarikat.

Ramai kakitangan telah melahirkan rasa tidak berpuashati dan kecewa dengan tindakan individu dalam NUJ yang melakukan manipulasi bagi memenuhi agenda pihak tertentu.

UMMB juga mempersoalkan niat individu berkenaan yang melihat kepemimpinan Jabatan Pengarang Utusan sebagai gagal memenangkan BN dan Umno (pada Pilihan Raya Umum ke-14), seperti yang dilaporkan.

Pihak kami telah mengeluarkan kenyataan tuntutan kepada Pengerusi NUJ Utusan, Taufek Razak dan Setiausaha NUJ, Basir Abu Bakar agar menarik balik semua dakwaan berkenaan dan memohon maaf.

Pihak kami juga telah membuat laporan polis bagi menjalankan siasatan dan dalam proses mendapatkan nasihat undang-undang bagi membersihkan nama baik UMMB dan Jabatan Pengarang Utusan khususnya.


Nota Editor: Malaysiakini kesal atas penyiaran berita tersebut kerana tidak terlebih dahulu mendapatkan penjelasan daripada Utusan Melayu sebelum menyiarkannya.

Pihak kami sedar penyiaran berita telah menjejaskan reputasi dan nama baik Utusan Melayu. Kami tidak sewajarnya diheret oleh pihak tertentu dalam isu dan pertikaian dalaman media lain.

 

ADS