Paling Popular
Terkini

Pendaftaran 23,000 calon bertanding semua peringkat dalam pemilihan Umno termasuk 121 calon Majlis Tertinggi menjadi petunjuk bahawa terdapat keyakinan dan harapan besar untuk melihat sokongan kepada parti itu kembali pulih dengan lebih awal.

Minat sebegitu ramai termasuk generasi muda untuk menyertai barisan kepimpinan adalah suatu fenomena yang sihat dan positif untuk menyuburkan amalan demokrasi dalam parti Umno.

Saya terkejut bercampur rasa syukur mendapat tahu begitu ramai yang mahu bertanding semua jawatan dalam Umno termasuk di bahagian-bahagian.

Malah bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan Majlis Tertinggi pun ramai muka baharu dan ahli biasa yang mendaftar.

Walaupun terdapat sebahagiannya yang ditolak pencalonan mereka kerana tidak memenuhi syarat kelayakan mengikut perlembagaan, namun langkah pertama mereka mencalonkan diri itu adalah bukti bahawa mereka ingin sama-sama kembali memperkuatkan Umno.

Sehubungan itu, saya menyeru semua calon yang layak supaya benar-benar mengikhlaskan hati dan memperbetulkan niat dalam perjuangan era baru Umno pasca kekalahan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Kita sedar dan akui bahawa akibat daripada kelemahan kita sendiri sebelum ini yang dihukum oleh majoriti pengundi dalam PRU-14, maka kita kini terpaksa membayar harga yang sangat tinggi untuk kembali bangkit mencari sokongan rakyat.

Pun begitu, saya optimis bahawa dengan perkembangan baru tentang minat muka-muka baharu dan generasi muda untuk berada dalam saf kepimpinan Umno pusat dan bahagian-bahagian, ia akan memperlicinkan usaha meremajakan Umno dan memastikan parti keramat ini sentiasa relevan di kalangan rakyat.

Dengan itu, saya berharap semua 150,000 perwakilan Umno di 191 bahagian yang akan memilih kepimpinan pusat dan bahagian pada 30 Jun ini agar tidak menolak bulat-bulat calon-calon muka baharu peringkat pusat dan bahagian, sebaliknya memberi pertimbangan sewajarnya kepada mereka.

Ingatlah bahawa semangat perjuangan mereka itu adalah aset masa depan Umno.

Sama-sama kita sertai usaha mengembalikan kegemilangan Umno.

Bersama menuju kemenangan.


DATUK JALALUDDIN ALIAS adalah calon anggota Majlis Terttingi Umno 2018-21 merangkap ketua Umno bahagian Jelebu dan ketua penerangan Negeri Sembilan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS