Surat Malaysiakini

Pasti manis jika Husam dilantik jawatan penting persekutuan

Abdullah Zawawi Hj Wahab  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pakatan Harapan (HARAPAN) yang terdiri daripada empat parti komponen utama iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini sudah mengorak langkah dengan lebih tersusun terutama di peringkat nasional, apabila gabungan parti politik ini berjaya menumbangkan rejim pemerintahan Barisan Nasional yang telah memegang tampuk kuasa di Malaysia hampir 60 tahun pada PRU 14 yang lalu.

Kejayaan HARAPAN membentuk sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan dan di beberapa buah negeri ini terus menjadi bualan ramai. Rata-rata berpendapat, inilah bukti sebenarnya pepatah "bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat".

Tidak dapat dinafikan, faktor utama yang melonjakkan kemenangan HARAPAN ini adalah kerana perpaduan, kesefahaman dan toleransi yang tinggi dikalangan parti-parti komponen dalam HARAPAN, apabila mereka sanggup mengenepikan kepentingan masing-masing seterusnya berpadu membentuk sebuah kesatuan yang mantap sehingga terhasilnya kemenangan yang amat bersejarah ini.

HARAPAN di Kelantan

Begitu jualah harapan rakyat seluruh negara secara umumnya, termasuk para penyokong HARAPAN di Kelantan, walaupun HARAPAN gagal memenangi sebarang kerusi sama ada di peringkat Parlimen mahupun DUN di sini, namun ia masih tidak menafikan bahawa Pakatan Harapan masih mempunyai harapan di Kelantan terutama dalam PRU 15 yang akan datang.

Tempoh lima tahun ini tidak lama dan HARAPAN Kelantan mesti membuat persiapan selengkapnya dalam usaha untuk menjadikan Kelantan sebagai sebuah lagi negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan pada PRU yang bakal tiba nanti.

Pimpinan HARAPAN Kelantan mestilah mengamalkan prinsip perpaduan dan toleransi serta membuang sikap "warlord" di gelanggang sendiri dan kembali bermuafakat membentuk sebuah kesatuan yang ampuh dalam usaha menawan hati rakyat Kelantan.

Perkara sebegini mestilah didasari atas semangat musyawarah dan kesefahaman dalam setiap keputusan dan tindakan yang akan dilaksanakan dalam menjadi jambatan penghubung antara Persekutuan dan Negeri dalam usaha memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesetiaan dan sikap saling menghormati antara parti komponen dalam HARAPAN Kelantan haruslah ditonjolkan, usah mengamalkan sikap bagaikan enau dalam belukar yang saling melepaskan pucuk masing-masing, amalan mementingkan diri dan tidak menghormati persetiaan yang dibuat pasti akan meranapkan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan, dimana natijahnya sudah pasti amat buruk kepada masa depan Pakatan Harapan di Kelantan.

Penyokong HARAPAN di Kelantan sudah pasti ternanti-nanti apakah langkah pemulihan yang akan dibuat oleh para pimpinan dalam usaha menambah baik apa yang kurang pada setiap tindakan dan gerak kerja, setelah keputusan yang pahit terpaksa ditelan oleh semua pendokong Pakatan Harapan pada PRU 14 yang lalu.

Posisi strategik kukuhkan HARAPAN

Kepercayaan dan terus memberi sepenuh kerjasama kepada Husam Musa selaku pengerusi HARAPAN Kelantan dan timbalan-timbalan pengerusinya daripada setiap parti komponen adalah amat dituntut dalam menjayakan agenda pemerkasaan HARAPAN untuk terus relevan dan menjadi pilihan utama rakyat Kelantan bukan sahaja dalam hal ehwal politik, bahkan merangkumi seluruh aspek pengurusan dan pentadbiran organisasi yang akhirnya menatijahkan hasil yang baik kepada HARAPAN dalam PRU yang akan datang.

Dan pastinya lebih manis apabila Husam Musa selaku Pengerusi HARAPAN Kelantan jika dilantik dalam posisi yang penting dan strategik dalam jentera pentadbiran kerajaan persekutuan, sudah tentu perlantikan beliau akan mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan di negeri Kelantan ini.

Semoga para pimpinan HARAPAN Kelantan terus diberi taufiq, hidayah, inayah, dan semangat kebersamaan dalam memacu langkah Pakatan Harapan di Kelantan.

Teladan dan tindakan yang baik dari pimpinan atasan akan menggembleng semangat setiakawan dan berpasukan di kalangan ahli penyokong dalam parti-parti komponen Pakatan Harapan dalam usaha menjayakan misi menawan Kelantan sebagai satu lagi negeri yang ditadbir oleh parti pemerintah di Malaysia pada hari ini.

 


ABDULLAH ZAWAWI WAHAB ialah Ketua Pemuda Pakatan Harapan Kubang Kerian.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.