Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Isu bahasa Cina: Pegawai media Lim beri penjelasan

Sebagai seorang pegawai media kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan sebelum ini pernah bekerja sebagai seorang wartawan di akhbar arus perdana dan juga portal berita selama 10 tahun, saya sentiasa mengamalkan sikap professional saya sebagai seorang pemberita dan alhamdulillah, masih mengekal professionalism saya sebagai seorang penjawat awam di pejabat menteri.

Saya mengambil maklum tentang situasi yang berlaku sekarang di mana boss saya dihentam teruk kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Cina untuk urusan kerja di kementerian.

Saya sebagai pegawai media rasa terpanggil untuk menjelaskan keadaan sebenar kerana saya rasa saya juga bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

Sejak saya masuk ke pejabat menteri pada 23 Mei, kenyataan rasmi sememangnya dibuat dalam bahasa Melayu dan akan diterjemahkan ke Inggeris dan kadang-kadang ke dalam bahasa Cina, jika kenyataan tersebut melibatkan terma-terma teknikal dan angka-angka besar kerana menteri tahu betapa susahnya untuk wartawan akhbar Cina untuk terjemahkan perkataan atau ayat tertentu ke bahasa tersebut.

Sebelum praktis menterjemahkan ke bahasa lain dibuat (semasa beliau di Pulau Pinang), ramai wartawan akan menelefon beliau untuk explain (menjelaskan) apa maksud ayat tertentu apabila kenyataan cuma dikeluarkan dalam BM atau BI. Jika praktis ini tidak diteruskan, bayangkan berapa banyak panggilan telefon saya atau beliau akan terima daripada wartawan menyuruh kami menjelaskan kenyataan tersebut.

Jadi dengan adanya terjemahan, kami sekaligus menyenangkan kerja wartawan (dan kami juga). Tambahan lagi, kementerian kewangan adalah kementerian yang paling sibuk setakat ini.

Walaubagaimanapun, saya mengakui ada kesilapan di pihak saya di mana versi terjemahan bahasa Cina tidak perlu mempunyai kepala surat (letter head) kementerian seolah-seolah itu adalah kenyataan rasmi dan terjemahan tersebut perlulah diemel terus kepada wartawan akhbar Cina dan bukan di public group Whatsapp di mana saya tubuhkan untuk kesenangan komunikasi antara saya dan rakan-rakan wartawan. Tiada niat tidak baik daripada pihak saya ataupun kementerian.

Bagi pihak Lim pula, ketika beliau dilihat (mempertahankan) terjemahan dalam bahasa Cina di Facebook peribadi beliau (dengan menggunakan bahasa Cina), beliau sebenarnya memberi respons beliau kepada akhbar Cina yang sudahpun memainkan isu ini pada hari minggu lalu. Beliau merasakan jawapan dalam bahasa ibunda beliau lebih elok untuk mengelakkan kejadian “lost in translation”.


RAHMAH GHAZALI adalah pegawai media kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan sebelum ini pernah bekerja sebagai seorang wartawan di akhbar arus perdana dan juga portal berita selama 10 tahun.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS