Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Pemuda Umno Johor Bahru tempelak wakil rakyat 'muka tembok'

Alhamdulillah Umno selesai menjalankan proses pemilihan parti yang berlangsung secara tenang dan penuh amalan demokrasi bagi memilih pucuk pimpinan baru yang akan menerajui parti sepanjang sehingga 2021.

Belum terlambat untuk Pergerakan Pemuda Umno Johor Bahru untuk mengucapkan tahniah kepada mereka yang terpilih, tidak kira untuk peringkat pusat mahupun bahagian.

Tugas berat menanti pucuk pimpinan yang baru dan kami di peringkat sayap, sentiasa bersama menjadi penggerak kepada proses merawat parti keramat ini.

Namun, dalam tempoh beberapa hari ini kita dihidangkan dengan banyak berita mengenai tindakan pemimpin Umno yang keluar parti dengan pelbagai alasan tersendiri.

Apa pun alasan diberikan, Pemuda Umno Johor Bahru menyifatkan pemimpin ini sebagai muka tembok dan mengkhianati perjuangan parti yang mereka laungkan sebelum ini sehingga tergamak meninggalkan parti tatkala ia dalam tahap paling bawah ketika ini.

Mereka dipilih menerusi sistem pilihan raya umum yang menyaksikan rakyat memberi undi kepada mereka hasil dana peruntukan parti yang mengangkat mereka sebagai calon.

Tetapi kenapa perlu dikhianati kepercayaan rakyat dan parti yang membantu mereka sehingga menjadi wakil rakyat?

Pergerakan Pemuda Umno Johor Bahru dengan tegas mencabar semua pemimpin muka tembok ini untuk meletak jawatan yang mereka perolehi itu menerusi sistem demokrasi.

Mereka wajar membenarkan rakyat memilih semula wakil rakyat dan parti pilihan mereka, bukannya membiarkan diri menjadi pengkhianat sambil menjalankan tugas dan tanggungjawab di kawasan anda.

Kepada semua, ingatlah, ini ialah medan perjuangan untuk kita sama-sama memulihkan kepercayaan rakyat pada Umno. Jika anda berasa diri anda tidak mampu, berundurlah. Jangan jadi duri dalam daging. Cukuplah Umno menderita dengan sikap pemimpin seperti ini.


MOHD HAIRI MAD SHAH ialah ketua Pemuda Umno Johor Bahru.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS