Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya menyeru Kerajaan Pakatan Harapan, khususnya Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, untuk menyemak kembali perjanjian-perjanjian pembelian kuasa (PPA) yang ditandatangani antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat-syarikat penjana kuasa bebas (IPP).

Semakan semula terhadap PPA perlu dilakukan untuk memastikan TNB dan rakyat tidak menanggung kerugian akibat terma perjanjian yang membebankan dan tidak munasabah.

Walaupun beberapa PPA telah disemak semula bawah pentadbiran BN sebelum ini, ia masih mempunyai beberapa kekurangan yang perlu diatasi oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Misalnya, dalam proses menyemak semula PPA sebelum ini, Suruhanjaya Tenaga telah memberi “extension of tenure” ataupun pemanjangan tempoh operasi untuk beberapa IPP yang terbabit.

Keputusan sebegini dikhuatir tidak mampu membawa penjimatan kos elektrik pada jangka masa panjang dan akhirnya hanya membebankan pengguna, khususnya pengguna komersial menerusi sistem Imbalance Cost-Pass Through (ICPT).

Tindakan melanjutkan tempoh kontrak penjanaan kuasa, khususnya untuk aset jana kuasa yang telah berusia, hanya membuatkan penjanaan elektrik berlaku dengan tidak efektif.

Dengan melanjutkan tempoh operasi untuk aset lama, berbanding dengan aset baru yang lebih efisien, TNB mungkin akan terpaksa membayar kos penjanaan elektrik yang lebih tinggi.

Akhirnya, kos lebih tinggi ini akan disalurkan kepada pengguna. Justeru, kita harus menilai kembali PPA berkenaan untuk memastikan rakyat Malaysia benar-benar menerima manfaat daripada mekanisme pembelian kuasa elektrik.

Pada masa yang sama, saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk menilai “cost & benefit” di sebalik pemilikan sesetengah aset jana kuasa elektrik negara oleh pihak asing.

Ini merujuk kepada IPP kedua terbesar Malaysia – Edra Power Holdings Sdn Bhd – yang telah dijual pada 2015 oleh kerajaan BN kepada sebuah syarikat China, China General Nuclear Power Corp (CGN).

Adalah penting untuk menilai semula pemilikan aset jana kuasa oleh CGN di Malaysia untuk memastikan keselamatan negara ini tidak terjejas.

Saya juga berharap agar laporan terperinci mengenai penilaian semula pegangan ekuiti CGN terhadap Edra Power akan dibentangkan untuk tatapan umum.

Kita tidak seharusnya membiarkan aset negara dikuasai oleh kuasa asing yang boleh membebankan rakyat.


FAIZ FADZIL ialah timbalan ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS