Surat Malaysiakini

Najib mengata dulang paku serpih

Irwan Fahmi Ideris  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Saya ingin merujuk kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Malaysiakini pada 5 Julai 2018.

Saya amat percaya kenyataan itu dibuat selepas beliau berasa amat sedih dan kecewa kerana majoriti rakyat Malaysia menolak seluruh kepimpinannya pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Selaku mantan ketua Wira Perkasa Malaysia saya terpanggil membalas kenyataan beliau yang mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersekongkol dengan pergerakan pelampau Melayu, PERKASA.

Mula-mula saya ingin bertanya adakah beliau tahu peranan PERKASA? Benarkah PERKASA pergerakan pelampau Melayu?

Semasa saya memegang jawatan ketua Wira Perkasa Malaysia, kami tidak pernah membuat tindakan melanggar undang-undang dan perlembagaan. Kami hanya mempertahankan hak yang sepatutnya.

Jadi di mana tindakan kami yang dikatakan pelampau Melayu? Malah apa yang terjadi pada orang Melayu pada hari ini kesan pengkhianatan beliau kepada bangsa sendiri.

Semasa zaman pemerintahan Najib siapakah yang menjadi presiden parti? Sekiranya ada antara pemimpin parti itu membuat kenyataan dan tindakan tidak baik secara terus kepada parti lain, apakah tindakan tersebut dibenarkan?

Apakah presiden parti tidak boleh menghalang dan memastikan ianya tidak berulang? Kalau tidak boleh bertanggungjawab, janganlah jadi presiden!

Saya amat hairan, bagaimana pemimpin begini dianggap pejuang rakyat. Sudahlah gagal memerintah negara, malah gagal juga bertanggungjawab menjadi pemimpin.

Saya amat suka mengingatkan Najib, saya bersama kepimpinan Wira Perkasa pernah meminta beliau meletak jawatan pada Ogos 2013.

Mengapa kami bertindak sedemikian?


Baca Dr M sudah berubah? Najib dedah rekod


Saya ingin menggunakan peribahasa ini untuk kenyataan beliau: kata paku dulang serpih, kata orang dia yang lebih.

Adakah Najib lupa pada ketika itu kami bertindak sedemikian kerana beliau tidak mempedulikan suara rakyat?

Satu demi satu kerosakan dibuat beliau. Jelas beliau mengkhianati rakyat Malaysia.

Saya percaya jika Najib mendengar nasihat dan meletakkan jawatan ketika itu apa yang dilalui oleh beliau pada hari ini tidak akan berlaku.

Rakyat telah memilih kerajaan baru untuk mentadbir Malaysia. Belajarlah untuk menerima hakikat dan kenyataan bahawa pada hari ini Najib sudah tidak berkuasa lagi.

Kerosakan yang dibuat beliau menyebabkan rakyat tidak dapat menahan kepayahan dan keperitan hidup. Janganlah cuba mengeruhkan keadaan yang kini sedang dalam pemulihan.

Seorang pemimpin tidak akan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyebabkan perpecahan. Salah kita sendiri, jangan dituding kepada orang lain.

Terbuktilah kini beliau gagal menjadi seorang pemimpin yang baik.

Saya ingin menasihati Najib, sudah tiba waktunya untuk beliau meluangkan masa bersama anak dan cucu kerana saat ini tidak dapat dinikmati ketika beliau menjadi perdana menteri dahulu.

Tak perlulah mengajar orang yang lebih tua daripada kita. Janganlah kita melawan orang yang lebih tua, kemudian hari buruk padahnya.


IRWAN FAHMI IDERIS ialah bekas ketua Wira Perkasa Malaysia 2010 - 2016.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.