Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada 9 Mei yang lalu, rakyat telah melakukan perubahan drastik dalam arus politik tanah air dengan menamatkan tempoh 60 tahun BN memerintah Malaysia dengan memberi mandat kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi memacu Malaysia baru.

Hari ini merupakan sidang parlimen penggal pertama yang akan menyaksikan HARAPAN bertindak sebagai blok kerajaan. Pelbagai janji dijamin kepada seluruh rakyat yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia kembali dihormati dan bebas daripada sebarang anasir yang boleh meruntuhkan imej negara.

Maka pada hari ini, Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) ingin menggesa kerajaan HARAPAN agar janji-janji yang terkandung di dalam manifesto berkaitan beberapa perkara ditunaikan pada kadar yang segera.

Justeru, satu memorandum oleh Mahasiswa Keadilan Malaysia akan diserahkan kepada pihak kerajaan bersempena pembukaan mesyuarat pertama, penggal pertama sidang parlimen ke-14.

Memorandum ini mengandungi dua (2) tuntutan utama terhadap janji manifesto kerajaan untuk segera dilaksanakan iaitu:

  1. Janji 27: Menghapus undang-undang zalim
  2. Janji 50: Mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi

Tuntutan ini juga adalah selaras dengan iltizam khusus kepada mahasiswa dan anak muda yang terkandung didalam manifesto HARAPAN.

Iltizam tersebut pada Perkara Tiga (3) menyatakan bahawa HARAPAN beriltizam untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang mana telah menyekat bukan sahaja hak dan kebebasan mahasiswa selaku warganegara yang dijamin oleh perlembagaan dihormati malah kebebasan universiti itu sendiri dalam kebebasan berakademik serta akta-akta lain yang menjerat hak kebebasan bersuara.

Akta-akta yang zalim ini bukan sahaja mencabuli hak warganegara malahan secara terang-terangan tidak menghormati perlembagaan yang didokong oleh segenap masyarakat di Malaysia.

Kami juga ingin menuntut agar mahasiswa-mahasiswa yang pernah dituduh di mahkamah di bawah akta ini atau diambil tindakan di peringkat universiti dibebaskan daripada sebarang pertuduhan.

Mahasiswa Keadilan Malaysia tidak menafikan bahawa perlu adanya undang-undang bagi memastikan keamanan serta keharmonian negara terpelihara sepanjang masa, namun, terdapat undang-undang yang diwujudkan semasa pemerintahan terdahulu yang telah dijadikan suatu alat untuk menakut-nakutkan rakyat demi memastikan kelangsungan politik pihak-pihak tertentu.


Artikel ini merupakan pandangan penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS