Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan menyambut baik saranan kerajaan untuk mengkaji semula peranan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) termasuk membekukan dana mereka bagi memastikan badan itu berperanan mengikut tujuan penubuhannya.

Ini kerana sejak penubuhannya secara rasmi pada 9 Disember 2014, belum jelas apakan peranan Iksim dan sumbangannya terhadap umat Islam tidak begitu signifikan meskipun mendapat dana daripada kerajaan.

Difahamkan dana yang telah diperolehi Iksim daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ialah RM10 juta setahun.

Ia suatu angka yang banyak untuk sebuah organisasi seumpama itu menjalankan fungsinya. Bahkan, terdapat maklumat bahawa Iksim juga telah mendapat dana sebanyak RM5 juta daripada MAIWP sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Sepatutnya dengan dana sebegitu setiap tahun, Iksim mengorak langkah jauh bagi memastikan kedaulatan Islam diletakkan pada tempat yang tertinggi di negara ini.

Sebagaimana hasrat Majlis Raja-raja Melayu yang mengizinkan penubuhannya melalui mesyuarat ke-225, Iksim mesti bertanggungjawab memastikan kepercayaan terhadap penubuhannya diberi 100 peratus.

Justeru amat wajar kerajaan mengkaji peranan agensi itu. Ia adalah proses memperkasakan institusi kerajaan terutama yang berkaitan dengan agama di negara ini sebagaimana Jakim yang telah dibuat kajian secara terperinci.

AMANAH Wilayah Persekutuan percaya kerajaan tidak bercadang untuk membubarkan Iksim, namun ia mesti diberi nafas baru dengan kepimpinan yang idealistik dan berpandangan jauh agar bidang tugas dan peranannya dapat dibawa lebih jauh ke hadapan.

AMANAH Wilayah Persekutuan tidak mahu penubuhan mana-mana organisasi di bawah kerajaan hanya sekadar melepas batuk di tangga.

Mereka mendapat banyak dana namun tidak mampu menggerakkan organisasi sebaik mungkin. Malah dibimbangi penubuhan organisasi itu sekadar mahu menyalurkan dana untuk kepentingan pihak tertentu.

Jika keadaan demikian berlaku, ia amat dikesali kerana dana kerajaan ialah hasil titik peluh rakyat namun ia hanya berlegar pada golongan tertentu yang berkepentingan.

Kepimpinan baru Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan perlu mengorak langkah mereformasikan institusi kerajaan.

Kerajaan perlu dibersihkan, dan membersihkan semua agensi di bawah kementeriannya adalah jihad besar bagi memastikan negara dipimpinan oleh orang yang jujur, amanah, telus dan bertanggungjawab.


AHMAD ZAMRI ASA'AD KHUZAIMI ialah naib pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan.

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS