Malaysiakini Surat

Umno kecam Israel lulus RUU negara-bangsa Yahudi

Ahmad Zahid Hamidi

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Umno berpendirian sama dengan negara-negara lain dalam mengecam sekeras-kerasnya keputusan parlimen Israel meluluskan rang undang-undang Tanah Yahudi semalam, yang melucutkan sama sekali hak rakyat Palestin ke atas wilayah nenek moyang mereka.

Dasar ala apartheid ini juga menghapuskan peruntukan perlembagaan yang mengiktiraf bahasa Arab sebagai bahasa rasmi negara itu serta Palestin.

Ia turut mengiktiraf Baitulmuqaddis atau Jerusalem sebagai ibu negara baru Israel - memadamkan setiap bantahan umat Islam dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terhadap isu itu.

Tindakan keterlaluan rejim Yahudi ini sama sekali bertentangan dengan Pengisytiharan Balfour 1926 yang cuma menyebut Yahudi berkongsi bumi Palestin sebagai 'tempat tinggal bersama'.

Biarpun ahli Knesset (parlimen Israel) berbangsa Arab menentang akta itu, mereka terpaksa akur dengan kuasa majoriti anggota parlimen yang semuanya mengundi untuk menyokong rang undang-undang itu.

Ia dikhuatiri akan mencetuskan bantahan serta keganasan yang lebih hebat di Palestin.

Ini pastinya akan dijadikan sebagai lesen oleh pasukan keselamatan Israel untuk terus membunuh orang Palestin yang menentang mereka.

Dengan itu, Umno menggesa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan agar mengutuk perbuatan tidak bertamadun ini, serta mendesak kerajaan Amerika, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Persidangan Islam, PBB dan badan-badan dunia yang berteraskan keamanan sejagat, agar mendesak Tel Aviv untuk mengkaji semula rang undang-undang itu dan menghormati pandangan masyarakat antarabangsa.

Anggota parlimen pembangkang juga mendesak Wisma Putra agar meneruskan dasar kerajaan Malaysia yang menentang sebarang bentuk tindakan yang menafikan hak asasi rakyat Palestin untuk menuntut hak sah sebagai negara yang berdaulat dan menegakkan pemerintahan sendiri, serta menolak sebarang tindakan yang mencabul hak asasi manusia.


DATUK SERI AHMAD ZAHID HAMIDI ialah ketua pembangkang dan presiden Umno.

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.