Surat Malaysiakini

Mana pejuang agama dan bangsa Pakatan Harapan?

Noor Hariri Mohamed Noor  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mutakhir ini rakyat dihidangkan dengan pelbagai isu yang menyentuh sentimen agama dan bangsa oleh pimpinan atau proksi-proksi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Setelah mereka berjaya menguasai pentadbiran negara, golongan ini semakin berani menonjolkan diri dengan mempromosi kehendak dan kepentingan masing-masing beralaskan hak kebebasan bersuara atau hak asasi manusia.

Kita dapat lihat bagaimana isu seperti ketuanan Melayu dan LGBT dilaung-laungkan secara jelas, memberi isyarat betapa hak bumiputera dan kedudukan Islam kian dicalar.

Belum pun 100 hari memerintah negara, HARAPAN bukan sahaja gagal merealisasi janji, malah dilihat semakin memberi muka kepada pihak-pihak yang mempunyai agenda peribadi sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Tangan-tangan halus semakin ligat mencari peluang untuk munculkan diri, meraih sokongan dan pengaruh sekali gus cuba menghakiskan identiti kebangsaan dan Islam.

Apakah ini Malaysia baru yang kita idam-idamkan?

Kita sama sekali tidak boleh berkompromi ketika ada pihak cuba merosakkan tiang seri yang sekian lama terpasak di tanah air ini.

Ketuanan Melayu dan Islam sebagai agama rasmi negara sama sekali tidak boleh dijadikan alat eksperimen di makmal atas alasan apa pun.

Justeru, di mana suara-suara pejuang Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dikatakan mahu menjadi tunjang perjuangan kepada orang Melayu seperti dilakukan Umno sejak sekian lama?

Di mana anak-anak muda Parti Amanah Negara ketika agama Islam dirobek dengan tuntutan aktivis LGBT yang berleluasa? Apakah perjuangan bangsa dan agama kalian 'dibisukan' sesudah berjaya meraih tempat di Putrajaya.

Apakah era baru ini hanya berpaksikan kemahuan rakus DAP sahaja tanpa mengira kepentingan orang lain?

Jika demikian, wajarkah Malaysia baru yang dihidang kepada rakyat dengan hanya berdiam diri dan membiarkan masyarakat hanyut, terkeliru tanpa arah dan harga diri?

Bukankah ketika pemerintahan BN, HARAPAN ialah pejuang rakyat dalam mendepani sebarang persepsi yang ditanggapi boleh menghakiskan nilai-nilai keharmonian negara?


NOOR HARIRI MOHAMED NOOR ialah ketua Pemuda Umno Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.