Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sejak dua tiga hari ini telah riuh beberapa peristiwa yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap semangat setiakawan sesama parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan.

Belum pun cukup setengah tahun kerajaan Pakatan Harapan pimpinan negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara, sudah timbul pelbagai tohmahan, syak wasangka serta keterlanjuran kata-kata dari kalangan wakil rakyat HARAPAN sendiri.

Perkara ini dilihat mencemar keharmonian yang terbina antara kita semua dalam usaha menentang rejim kleptokrat pada PRU ke-14 lalu.

Perlu saya ingatkan kita semua bahawa Pakatan Harapan didukung dan disokong oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau negeri.

Tidak perlu kita nafikan parti atau tokoh mana dalam HARAPAN yang berjaya membawa kita menawan Putrajaya kerana semua pihak ada jasa, sumbangan serta pengaruh masing-masing.

Rakyat tidak kisah semua itu, apa yang mereka mahu ialah kita pulihkan kembali ekonomi, kurangkan penderitaan mereka akibat kos sara hidup yang meningkat dan tegakkan keadilan sosial mengikut lunas undang-undang.

Dalam mendepani cara berpolitik moden yang lebih terbuka, wajarlah kita selaku para pejuang faham tentang batas dan perbezaan antara kritikan membina dengan tuduhan melulu.

Kita sepatutnya menggunakan saluran dalaman terlebih dahulu untuk menegur sesama kita.

Jangan terlampau ghairah menjadikan media massa dan media sosial sebagai tempat untuk meluahkan rasa tidak puas hati sesama kita apatah lagi menyerang peribadi tokoh-tokoh parti sendiri.

Jika HARAPAN mahu didik rakyat guna saluran yang betul untuk mengadu, maka kita wajib tunjuk contoh.

Dalam mana-mana organisasi pun, kita perlu hormat hierarki kepimpinan. Bukanlah bermakna kita tiada hak bersuara, tetapi cara serta pendekatan kita perlulah bijaksana agar musuh HARAPAN tiada modal untuk menangguk di air yang keruh.

Sensitiviti masyarakat negara ini wajar dijaga terutama golongan majoriti kerana demokrasi tertegak melalui suara majoriti.

Namun, hak minoriti perlu dipertahankan selagi tidak melanggar perlembagaan negara.

Jangan pandang remeh isu-isu kontroversi yang melibatkan agama, kaum, jantina atau budaya kerana kita bukan di negara Barat.


DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU merangkap ketua Biro Integriti ARMADA Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS